PERPADUAN bukan sekadar matlamat sosial yang diimpikan, tetapi satu keperluan asas dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Namun, dalam realiti hari ini, cabaran terhadap perpaduan semakin ketara dengan pelbagai isu perkauman, keagamaan dan sosioekonomi yang timbul dalam kehidupan seharian.
Dalam dunia yang semakin kompleks ini, pendidikan bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan, tetapi juga membentuk sikap dan nilai yang diperlukan untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni. Oleh itu, usaha memperkenalkan prinsip perpaduan sejak usia awal bukan sekadar satu pilihan, tetapi keperluan mendesak.
Kanak-kanak merupakan individu yang sedang membentuk identiti dan pemahaman mereka terhadap dunia. Jika nilai-nilai perpaduan tidak disemai sejak kecil, mereka mungkin membesar dengan prasangka atau perasaan asing terhadap kaum dan budaya lain.
Di sinilah kepentingan Rukun Negara sebagai satu falsafah nasional yang seharusnya diperkenalkan secara lebih sistematik kepada kanak-kanak. Rukun Negara bukan sekadar teks hafalan yang dibacakan semasa perhimpunan sekolah, tetapi satu rangka kerja pemikiran yang membentuk identiti nasional.
Lima prinsip Rukun Negara bukan sahaja memberikan asas untuk memahami struktur negara, tetapi juga memupuk nilai yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Secara eksplisit, kurikulum prasekolah dan sekolah rendah boleh memasukkan elemen perpaduan dan Rukun Negara secara lebih interaktif, bukan hanya dalam mata pelajaran sejarah atau pendidikan moral, tetapi juga dalam subjek lain seperti seni, muzik dan pendidikan jasmani.
Aktiviti berkumpulan yang melibatkan interaksi antara kanak-kanak pelbagai latar belakang perlu diperbanyakkan, bagi mengelakkan segregasi yang tidak disengajakan.
Secara implisit pula, persekitaran pembelajaran harus direka untuk menggalakkan nilai perpaduan. Misalnya, bahan bacaan kanak-kanak perlu mencerminkan kepelbagaian budaya dan etnik yang wujud di Malaysia. Kisah-kisah rakyat dari pelbagai kaum boleh dijadikan bahan bacaan utama bagi membiasakan kanak-kanak dengan keunikan budaya lain. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan perayaan pelbagai kaum yang bukan sekadar bersifat simbolik tetapi memberi makna mendalam kepada pemahaman mereka tentang kebersamaan.
Namun, di sebalik usaha ini, terdapat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian. Salah satunya ialah segregasi pendidikan yang wujud akibat sistem sekolah yang berbeza mengikut aliran bahasa. Walaupun setiap sekolah mempunyai kurikulum kebangsaan, realitinya interaksi antara kanak-kanak daripada latar belakang etnik yang berbeza masih terbatas.
Program silang budaya yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan untuk mengatasi jurang ini. Program pertukaran murid antara sekolah berlainan aliran boleh menjadi salah satu inisiatif yang berkesan untuk memecahkan tembok perbezaan yang wujud sejak awal. Selain itu, peranan ibu bapa dalam membentuk nilai perpaduan juga tidak boleh diketepikan.
Jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan nilai-nilai perpaduan dalam kehidupan seharian, usaha pendidikan di sekolah tidak akan mencapai kesan yang diharapkan.
Tambahan pula, pengaruh teknologi dan media sosial dalam kehidupan kanak-kanak semakin meningkat. Walaupun platform digital boleh menjadi alat yang baik untuk menyebarkan nilai perpaduan, ia juga boleh menjadi ruang yang memperkukuh stereotaip dan perpecahan jika tidak dikawal dengan baik. Oleh itu, kandungan pendidikan yang berbentuk digital juga perlu dirangka secara bijak untuk menarik perhatian kanak-kanak tanpa menjejaskan objektif pembentukan perpaduan.
Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan dalam memupuk nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda. Rukun Negara bukan sekadar teks sejarah yang dipelajari secara formal, tetapi harus menjadi panduan hidup yang diterapkan secara sedar dan berterusan dalam kehidupan harian kanak-kanak.
Jika nilai-nilai perpaduan ini berjaya disemai sejak kecil, kita boleh membayangkan masa depan Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu dalam kepelbagaian. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZIZAH ZAIN
Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak
Fakulti Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)






