KRISIS penyusutan minat dan pencapaian murid bumiputera dalam bidang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam aliran sains tulen, bukan lagi sekadar isu akademik. Ia kini adalah ancaman strategik terhadap aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Malaysia telah lama mengimpikan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang STEM. Namun, realitinya semakin suram. Menurut laporan terkini Persatuan STEM Malaysia, hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains tulen pada 2022, merosot drastik daripada 19.5 peratus pada 2018.
Apa yang lebih membimbangkan, peratusan ini semakin menyusut dalam kalangan pelajar bumiputera, yang merupakan majoriti di sekolah kerajaan. Jika ini berterusan, siapakah yang akan mengisi keperluan tenaga mahir sains dan teknologi negara kelak?
Masalah ini bukan semata-mata soal ‘minat’, tetapi soal dasar dan keutamaan negara. Jika pelajar tidak melihat masa depan dalam STEM, maka kita sedang membina generasi yang tidak bersedia menghadapi ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital.
Lebih membimbangkan, pendekatan pengajaran sains yang masih terlalu berorientasikan peperiksaan dan hafalan telah membunuh rasa ingin tahu dan daya eksplorasi pelajar. Sains bukan subjek untuk dihafal, tetapi untuk diteroka dan difahami melalui pengalaman amali. Malangnya, sebahagian besar sekolah luar bandar, yang majoritinya dihuni pelajar bumiputera masih tidak mempunyai kemudahan makmal asas, apatah lagi peralatan eksperimen moden. Kita bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan robotik, tetapi masih ada pelajar yang tidak pernah menyentuh mikroskop.
Kerajaan menggariskan pelbagai strategi, namun pelaksanaannya masih perlahan. Kementerian Pendidikan perlu menyegerakan peruntukan menaiktaraf makmal dan bahan pengajaran sains tulen di semua sekolah menengah, khususnya di kawasan luar bandar. Pada masa yang sama, penghasilan guru-guru STEM yang berkualiti dan berinspirasi tinggi perlu diperkasa segera. Guru sains tidak boleh lagi hanya tahu mengajar teori. Mereka perlu menjadi fasilitator ilmu dan pencetus minat.
Selain itu, kerjasama strategik dengan industri dan sektor korporat sangat diperlukan. Pembudayaan STEM tidak boleh bersifat episodik seperti karnival atau pameran setahun sekali. Kita perlukan pendekatan jangka panjang seperti program bimbingan, lawatan industri, mentor profesional, dan modul pendedahan kerjaya bermula dari sekolah rendah. Kaunselor sekolah juga mesti diperkasakan dengan latihan khusus dalam membimbing murid ke arah bidang masa depan seperti teknologi maklumat (ICT), teknologi hijau, dan AI.
Kemerosotan pelajar bumiputera dalam sains tulen bukan isu teknikal. Ini adalah isu keadilan sosial dan pembangunan negara.
Jika kita gagal membetulkan haluan sekarang, kita bakal melihat jurang digital yang lebih besar antara kaum dan kawasan dan dominasi tenaga kerja berkemahiran tinggi akan terus dikuasai oleh segelintir kelompok.
Sudah tiba masanya dasar pendidikan negara lebih berani dan tegas dalam menangani isu ini. STEM bukan pilihan, ia keperluan. Dalam keperluan itu, anak-anak bumiputera tidak boleh tertinggal lagi.
Kita tidak perlukan lebih banyak slogan sebaliknya tindakan menyeluruh, berfokus dan pantas, sebelum terlambat. – UTUSAN
AHMAD NIZAM CHE KASIM
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)






