DALAM kehidupan harian, teknologi menawarkan pelbagai kemudahan yang memudahkan urusan warga emas. Aplikasi e-dagang membolehkan mereka membeli barangan keperluan tanpa perlu keluar rumah, yang sangat bermanfaat terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah mobiliti.
Perkhidmatan pengangkutan dalam talian memudahkan warga emas bergerak ke destinasi dengan lebih selamat dan selesa tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga. Ini memberi mereka lebih kebebasan untuk menjalankan aktiviti harian seperti menghadiri janji temu perubatan, bersiar-siar atau melawat saudara-mara.
Teknologi pembantu suara pula membantu dalam mengurus tugas harian mereka. Dengan hanya menggunakan arahan suara, mereka boleh menetapkan peringatan pengambilan ubat, mendengar berita, memainkan muzik atau mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan mudah.
Salah satu cara utama teknologi meningkatkan kualiti hidup warga emas adalah melalui inovasi dalam bidang kesihatan. Peranti seperti jam tangan pintar dan aplikasi kesihatan membolehkan pemantauan kesihatan secara langsung. Warga emas boleh mengukur kadar jantung, tekanan darah dan tahap aktiviti fizikal mereka dengan mudah.
Teknologi juga meningkatkan aspek keselamatan. Sistem pemantauan rumah pintar yang dilengkapi dengan kamera dan sensor gerakan dapat memberi amaran kepada ahli keluarga atau penjaga sekiranya berlaku kecemasan, seperti jatuh atau pergerakan yang mencurigakan. Selain itu, alat penentu kedudukan global (GPS) yang dipasang pada telefon pintar boleh membantu mengesan lokasi warga emas yang mungkin tersesat, terutamanya mereka yang mengalami penyakit seperti demensia.
Teknologi juga memainkan peranan penting dalam memudahkan komunikasi antara warga emas dan keluarga mereka.Ini membantu mengurangkan rasa kesunyian dan memperkukuhkan hubungan sosial. – UTUSAN
JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan
Politeknik Nilai






