SIRI Jelajah Kelestarian Alam merupakan usaha dengan penglibatan golongan belia dalam menangani isu-isu melibatkan kelestarian alam. Ia juga merupakan platform dialog antara pelajar dan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Yayasan
Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berbicara mengenai dasar kementerian dalam menangani isu perubahan iklim.
Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai lokasi pembukaan siri jelajah tahun ini, susulan kejayaan penganjuran terdahulu di Universiti Malaysia Terengganu, IMU University dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam slot Tanya NRES, Ketua Setiausaha Kementerian membincangkan isu berkaitan perubahan iklim dan kelestarian alam.
Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS) turut diluncurkan hasil kerjasama JAS dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini memberi pengiktirafan terhadap usaha kelestarian oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam memupuk budaya kelestarian di kampus sebagai langkah menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Turut diadakan peluncuran buku kompilasi penyelidikan bertajuk From the Equator to the Ice: Malaysia’s Contributions to Antarctic Science (2013-2023), yang menghimpunkan penyelidikan penting Malaysia dalam bidang biologi, sains atmosfera dan perubahan iklim di Antartika. Buku ini mendapat sokongan dari Coral Triangle Initiative (CTI).
Siri Jelajah Kelestarian Alam ini telah dihadiri oleh lebih 250 peserta dan jemputan yang terdiri daripada pelajar USM, peserta-peserta sesi libat urus KLAAS yang terdiri daripada pegawai KPT, KPM dan pensyarah-pensyarah IPT dari zon utara), serta wakil daripada pihak pengurusan tertinggi NRES, YPASM, JAS dan USM.
Pada masa yang sama, USM selaku hos penganjuran Jelajah Kelestarian 2.0 memperkukuh komitmennya dalam mendidik, menyokong dan menerajui agenda kelestarian alam sekitar melalui kerjasama strategik serta penglibatan aktif pelbagai pihak dan komuniti. Komitmen ini dizahirkan menerusi peranan pusat tanggungjawab seperti Kampus Sejahtera, yang menjadi peneraju utama dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif kelestarian di peringkat universiti.
Selaras dengan aspirasi kelestarian negara dan sebagai respons proaktif terhadap krisis iklim global, USM telah melaksanakan satu inisiatif iklim berimpak tinggi iaitu Solar@USM. Projek ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan, memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta meletakkan USM sebagai model kampus lestari di peringkat nasional. Melalui inisiatif ini, sebanyak 22,374 panel solar fotovoltaik (PV) telah dipasang melibatkan 64 bumbung bangunan, lapan struktur tempat letak kereta (carport) dan dua tapak atas tanah (ground-mounted) di Kampus Induk USM, Pulau Pinang.
Projek bernilai RM30 juta ini dilaksanakan melalui kaedah pelawaan cadangan (RFP) dengan pendekatan perbelanjaan modal sifar (Zero Capex). Ia telah bermula pada 15 September 2021 dan siap sepenuhnya pada Disember 2022. Inisiatif ini mengukuhkan lagi usaha USM dalam merealisasikan visinya sebagai peneraju pendidikan tinggi yang menyokong masa depan lestari. – UTUSAN
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM






