JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut terlibat dalam Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Batu 8, Bendang Siam sebagai salah satu bentuk usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan lagi komuniti luar bandar khususnya melalui aktiviti sosial dan khidmat komuniti.
Hasrat itu akan diterjemahkan dengan menyumbang pengetahuan dan teknologi praktikal menerusi konsep latihan sambil bekerja yang bakal dilaksanakan pada bulan Ogos 2025 oleh pensyarah dan pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) mengikut kepakaran masing-masing.
Antara inisiatif yang dilakukan oleh pihak JPPKK adalah menerusi pembaikan 21 buah rumah penduduk yang terlibat. Pihak JPPKK turut mengadakan lawatan tapak dan penilaian awal kerja-kerja pembaikan dijalankan oleh seramai enam orang pensyarah dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), dua orang dari Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) dan diketuai seramai empat orang pensyarah dari Kolej Komuniti Bagan Serai (KKBGS).
Kerja-kerja pembaikan yang dijadualkan bermula Ogos 2025 itu nanti meliputi aspek penggantian bumbung yang rosak dan bocor, penggantian lantai papan kayu, tiang kayu, cermin tingkap dan pintu yang telah usang. Manakala penduduk yang bakal menerima manfaat menerusi inisiatif ini adalah terdiri daripada daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU).
Melalui inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban sekaligus meningkatkan tahap kesejahteraan kepada penduduk setempat. – UTUSAN
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI






