DALAM keadaan cuaca yang panas membahang seperti sekarang memerlukan keperihatinan semua pihak untuk lebih berhati-hati bagi mengelak berlaku sesuatu yang tidak diingini menimpa mereka.
Apa yang penting, jangan sama sekali mendedahkan diri kepada panahan cahaya matahari yang boleh menjuruskan kepada bahana strok haba.
Bagi golongan petani dan pekebun perlu berwaspada semasa menjalankan kerja-kerja harian di sawah dan di kebun-kebun mereka kerana pukul 10 pagi, matahari sudah terik.
Begitu juga dengan kanak-kanak di taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak perlu diawasi dengan sempurna oleh para guru dan petugas agar murid-murid mereka tidak aktif bermain di bawah cahaya matahari panas.
Pengawasan juga hendaklah diberi perhatian oleh pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah dengan memastikan para pelajar tidak menjalankan aktiviti seperti senaman di tengah panas, walaupun pada waktu pagi.
Para belia yang aktif dalam bidang sukan luar tidak terkecuali dengan langkah berjaga-jaga dalam keadaan di kebanyakan negeri di negara ini sekarang dilanda panas melampau.
Mereka perlu mengelakkan diri turun ke padang bola atau apa sahaja gelanggang permainan terbuka semasa cuaca masih terik.
Begitu juga dengan peminat kayuhan basikal tidak terkecuali dengan keadaan cuaca panas semasa mereka mengayuh basikal.
Apabila sampai masa panas membakar, kayuhan perlu dihentikan.
Bagi mereka yang minat berjoging, berjoginglah pada masa yang sesuai, seperti awal pagi. Elak berjoging sehingga matahari sudah terik atau semasa panas kuat waktu petang.
Walaupun bekerja untuk mencari rezeki, tetapi ingatlah, kesihatan lebih utama dari segala-galanya.
Kalau badan tidak sihat, sudah tentu tidak ada harapan lagi untuk bekerja pada masa akan datang, walaupun fenomena cuaca panas sudah berakhir.
Pendek kata, dalam keadaan cuaca panas terik seperti sekarang, semua kategori penduduk perlu berwaspada, jangan mendedahkan diri kepada cuaca panas yang merbahaya. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis






