Meskipun kerajaan menetapkan semua bentuk perjudian dalam talian adalah haram melainkan diberikan lesen sah, namun fenomena promosi judi melalui platform digital semakin membimbangkan dan sukar dikekang.
Baru-baru ini, polis menyerbu sebuah pusat promosi perjudian dalam talian yang beroperasi di kawasan mewah di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Penemuan ini mengejutkan kerana sindiket terbabit menyasarkan golongan berpendidikan tinggi dan pengguna media sosial dengan pendekatan yang lebih licik dan profesional.
Perjudian dalam talian lebih kompleks. Mereka menggunakan laman web yang berpangkalan di luar negara, platform media sosial dan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram untuk menyebarkan pautan perjudian serta menawarkan ‘bonus pendaftaran’ yang menarik.
Apa yang lebih membimbangkan ialah sindiket ini kini menggunakan pengaruh selebriti, pempengaruh media sosial dan platform e-dagang untuk mempromosikan laman judi secara tersirat, sama ada melalui iklan terselindung atau kandungan berbayar. Mereka menaja video YouTube, pertandingan e-sukan, malah menyamar sebagai aplikasi permainan biasa yang akhirnya membawa kepada laman perjudian.
Terdapat beberapa cabaran utama dalam menangani kegiatan ini:
Identiti dan operasi merentas sempadan
Majoriti platform judi dalam talian beroperasi dari luar negara menggunakan pelayan awan, menjadikan pengesanan lokasi sebenar hampir mustahil. Malah, mereka sering menukar URL dan menggunakan proksi untuk mengelak dikesan.
Kelemahan literasi digital masyarakat
Ramai pengguna, khususnya remaja dan warga emas tidak memahami taktik halus promosi judi digital. Mereka terpedaya dengan janji ‘mudah menang’ dan ‘cepat kaya’ tanpa menyedari risikonya terhadap kewangan dan kesihatan mental.
Keterbatasan undang-undang
Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 yang diguna pakai ketika ini agak lapuk dan kurang berkesan dalam menangani bentuk perjudian moden yang bersifat maya. Undang-undang sedia ada lebih tertumpu kepada perjudian fizikal.
Keterlibatan pihak ketiga
Promosi judi dalam talian kini turut melibatkan individu tertentu seperti pereka grafik, pembangun laman web dan ejen afiliasi yang dibayar lumayan untuk menarik trafik ke laman judi. Pendekatan ‘perniagaan digital’ ini menjadikan penguatkuasaan lebih sukar kerana ia melibatkan pelbagai pemain dalam rantaian digital.
Aktiviti perjudian dalam talian bukan sahaja melanggar undang-undang yang ditetapkan malah turut mengakibatkan pelbagai kesan negatif yang menyeluruh terhadap struktur sosial dan ekonomi masyarakat sehingga mengalami tekanan emosi, kemurungan dan akhirnya ada yang kehilangan pekerjaan, keruntuhan rumah tangga dan ada juga yang sanggup berhutang dengan ceti haram atau Ah Long.
Tambahan pula, sesetengah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan belia dikesan menjadi ejen atau runner dengan tawaran bayaran lumayan. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merosakkan masa hadapan golongan muda, malah mendedahkan mereka kepada aktiviti jenayah yang lebih berat seperti pengubahan wang haram dan penipuan dalam talian.
Dari sudut ekonomi, aliran keluar wang negara ke platform antarabangsa yang tidak dikawal secara sah menyebabkan kerugian besar kepada negara, termasuk kehilangan hasil pendapatan cukai dan ketirisan kawalan kewangan. Situasi ini turut memberi kesan kepada kestabilan ekonomi makro, terutama apabila transaksi digital digunakan tanpa sebarang rekod yang sah.
Bagi membendung isu ini, pendekatan menyeluruh dan bersepadu antara pelbagai pihak perlu digerakkan dengan lebih agresif. Antara langkah yang boleh diambil termasuk:
Penggubalan undang-undang baharu
Akta sedia ada perlu dikemaskini atau diganti dengan perundangan khas yang merangkumi perjudian digital, termasuk tindakan terhadap platform dan individu yang terlibat dalam promosi atau transaksi berkaitan.
Kerjasama serantau dan antarabangsa
Malaysia perlu bekerjasama dengan negara jiran serta agensi seperti Interpol untuk mengekang operasi perjudian merentas sempadan, termasuk menutup pelayan laman judi antarabangsa yang menyasarkan rakyat Malaysia.
Kawalan lebih ketat di media sosial
Pengawasan terhadap kandungan digital perlu diperketat, termasuk mengenakan denda terhadap mana-mana individu atau syarikat yang mempromosikan laman judi secara terang atau terselindung.
Pendidikan dan kesedaran digital
Program pendidikan mengenai bahaya perjudian digital perlu dipergiatkan di peringkat sekolah, IPT dan komuniti melalui pendekatan yang mudah difahami dan bersifat mendidik, bukan hanya menakutkan.
Libatkan institusi kewangan
Bank Negara boleh memperketatkan pemantauan transaksi mencurigakan ke akaun luar negara atau akaun milik individu yang sering terlibat dengan transaksi mikro yang tidak konsisten. – UTUSAN
DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI @ UDA
Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Nilai






