DI tengah gegaran muzik keras dan vokal parah yang menusuk jiwa, Daighila muncul sebagai antara band hardcore punk bawah tanah paling berpengaruh di Malaysia dan Asia. Ditubuhkan sekitar awal 2000-an di Rembau, Negeri Sembilan, Daighila bukan sekadar band tetapi simbol gerakan yang menolak hegemoni budaya arus perdana dan menjulang suara rakyat marhaen.
Daighila berdiri atas prinsip antikapitalisme, kesedaran kelas dan kebebasan ekspresi. Mereka merakam muzik sendiri, mengurus jualan dan menjelajah ke luar negara. Semua tanpa sokongan besar. Dalam dunia hardcore yang dahulunya didominasi gaya keras, Daighila membawa intelektualisme, puisi kecewa dan emosi mentah.
Apa yang membezakan mereka ialah gabungan bunyi garang dan lirik penuh sensitiviti. Lagu-lagu mereka dalam bahasa Melayu dan Inggeris menyentuh isu masyarakat, tekanan jiwa dan kehilangan. Dalam album seperti Miscellaneous dan Transition, setiap lagu terasa seperti nota bunuh diri yang diselamatkan di saat akhir, penuh pemberontakan dan kejujuran yang menakutkan.
Di pentas kecil, gudang lama dan ruang gig seperti Rumah Api, Daighila adalah legenda. Persembahan mereka bukan sekadar muzik tetapi ritual katarsis. Dalam moshpit, tiada kasta, hanya tubuh dan suara yang berpadu dalam solidariti.
Ke luar negara, mereka menjelajah ke Eropah dan Asia bukan untuk glamor tetapi untuk menyambung silaturahim budaya bawah tanah global. Di kota seperti Hamburg, Berlin dan Tokyo, mereka membawa jeritan rakyat Malaysia yang terpendam, bukan sebagai eksport komersial, tetapi sebagai penghantaran jiwa.
Dalam dunia moden yang dibanjiri kepalsuan, Daighila adalah suara jujur yang menyelamatkan. Mereka mengingatkan seni tidak perlu manis untuk bermakna sebaliknya jeritan pun boleh jadi puisi dan luka boleh menjadi lirik yang menghidupkan harapan dalam penyelewengan. – UTUSAN
DR. YUSRY SULAIMAN
Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)






