BARU-BARU ini saya ada melawat saudara di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan yang terkenal dengan susun atur menarik selain landskap yang cantik. Hinggakan, pergi sahaja ke mana pun ia sesuai untuk bergambar kenangan.
Tetapi selepas tiga hari meluangkan masa di pusat pentadbiran yang cantik ini, saya perasan segelintir warga Putrajaya kurang menghormati peraturan lalu lintas.
Saya terkejut apabila satu pagi keluar dari rumah bersama-sama dengan pegawai kerajaan yang mahu ke tempat kerja, didapati ada yang sengaja melanggar lampu isyarat. Sudah merah pun mereka jalan juga.
Ini menyebabkan orang luar seperti saya ini terpinga-pinga.
Bukan di satu persimpangan sahaja, persimpangan berikutnya pun sama. Lampu sudah merah masih ada satu dua kereta dan motosikal terus berjalan tanpa menghiraukan lampu isyarat.
Dalam hati, saya tertanya-tanya adakah ini budaya memandu di Putrajaya yang majoriti penduduknya adalah pegawai kerajaan, pengarah-pengarah dan kalangan pegawai tadbir dan diplomatik?
Jika ketika waktu puncak mungkin mereka mahu kejar masa (walaupun melanggar lampu merah satu kesalahan), tetapi di luar waktu puncak pun mereka selamba saja redah lampu merah terutama motosikal.
Seolah-olah Putrajaya sebuah pekan koboi.
Ini menjadikan orang luar macam saya yang datang dari kampung terpinga-pinga dan teragak-agak setiap kali sampai di persimpangan lampu isyarat kerana bimbang, kenderaan lain tidak berhenti.
Jika ini budaya memandu di Putrajaya, maka orang luar kena ikut sajalah sebab majoriti penghuni Putrajaya adalah pegawai kerajaan dan pembuat dasar negara. Mereka lebih arif. – UTUSAN
AWANG DEKE
Naka, Kedah






