KAUNTER pintu masuk negara adalah benteng pertama mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air. Di sinilah setiap pasport diperiksa, setiap wajah dikenal pasti dan setiap pergerakan rentas sempadan dipantau.
Ia bukan sekadar prosedur rutin tetapi tanggungjawab besar yang memikul maruah dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia. Namun apabila amanah ini dikhianati, bukan sahaja undang-undang dipermainkan tetapi maruah negara turut tergadai.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membongkar sindiket counter setting di pintu masuk laut, melibatkan 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa. Mereka disyaki menerima sogokan hampir RM490,000 bagi meloloskan warga asing tanpa pemeriksaan ketat.
Dalam kes berasingan, lima pegawai Imigresen turut ditahan selepas disyaki membantu kemasukan tidak sah. Lebih mengejutkan, siasatan mendapati mereka memiliki barang mewah, jongkong emas dan barang kemas bernilai lebih RM600,000 hasil daripada pengkhianatan terhadap sumpah jawatan.
Perbuatan ini bukan sekadar salah laku individu tetapi satu bentuk pengkhianatan terhadap negara. Apabila pintu sempadan boleh ‘dibeli’ dengan wang, keseluruhan sistem kawalan negara runtuh.
Lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada jenayah terancang seperti sindiket dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan senjata dan bahkan ancaman pengganas. Sempadan yang bocor bermakna keselamatan rakyat berada dalam bahaya dan kedaulatan negara menjadi taruhan.
Kajian akademik turut memberi amaran kelemahan teknologi, kekurangan pengawasan serta rapuhnya integriti pegawai antara faktor utama sempadan Malaysia mudah ditembusi.
Laporan juga menunjukkan kerugian ekonomi mencecah jutaan ringgit akibat penyeludupan barangan seperti rokok, alkohol, haiwan eksotik dan bahan api. Lebih parah, pengkhianatan ini berakar daripada kepercayaan sistem pengawasan longgar dan hukuman ringan.
Selagi persepsi ‘rasuah boleh lepas’ wujud, selagi itu pintu negara tidak benar-benar selamat.
Sudah tiba masanya pembaharuan dilaksanakan secara menyeluruh. Pertama, penggunaan teknologi biometrik, pengecaman wajah dan sistem kamera pintar perlu diperluas di semua pintu masuk darat, laut dan udara.
Pendigitalan penuh proses kawalan sempadan bukan sahaja mempercepat urusan tetapi juga mengurangkan campur tangan manual yang membuka ruang manipulasi. Kedua, sistem audit bebas dan pemantauan berlapis perlu diwujudkan agar setiap tindakan pegawai dapat dipantau secara masa nyata dan bebas daripada pengaruh dalaman.
Selain itu, hukuman terhadap pesalah perlu lebih tegas dan konsisten. Pegawai yang terbukti bersalah wajib dikenakan hukuman berat seperti penjara, pemecatan serta rampasan aset bagi memberi mesej jelas bahawa pengkhianatan terhadap negara tidak akan dimaafkan. Namun, pengukuhan institusi tidak boleh bergantung pada undang-undang semata-mata.
Budaya integriti perlu dipupuk sejak awal bermula daripada proses pemilihan dan latihan pegawai. Modul etika, kursus kesedaran antirasuah serta perlindungan kepada pemberi maklumat mesti dijadikan keutamaan.
Pengawasan rakan sebaya juga penting bagi memastikan tiada pihak berani menyalahgunakan kuasa tanpa ditegur.
Dalam masa sama, rakyat turut memainkan peranan penting dengan menyokong usaha pencegahan rasuah, menuntut ketelusan dan memberikan tekanan moral kepada institusi yang cuai.
Akhirnya, pengkhianatan di kaunter pintu masuk bukan sekadar isu disiplin atau rasuah kecil, tetapi ancaman besar terhadap keselamatan dan kedaulatan.
Pintu sempadan adalah wajah pertama sesebuah negara kerana di situlah maruah bangsa dipertaruhkan. Apabila benteng itu runtuh akibat tangan-tangan pengkhianat, keseluruhan sistem pemerintahan turut tercalar.
Kita tidak boleh lagi berkompromi. Integriti mesti menjadi asas, teknologi perlu dimanfaatkan, dan penguatkuasaan harus tegas tanpa pilih kasih.
Hanya dengan itu, maruah di pintu sempadan dapat dipulihkan dan kedaulatan negara dapat dipertahankan.
Pintu masuk bukan sekadar laluan sebaliknya simbol penjaga pertiwi, ia mesti dijaga seutuhnya. – UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong






