SAYA menyokong penuh cadangan supaya sebuah ambulans kerajaan ditempatkan di setiap satu Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan penduduk berpendapatan rendah dapat menerima perkhidmatan.
Sememangnya perkhidmatan tersebut amat diperlukan semasa berlaku kecemasan terutama kalangan warga emas, pesakit kronik dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Akhbar Nexbyte baru-baru ini melaporkan harapan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Lembah Subang 2, Endi Susilo Tasiron mengenai keperluan ambulans tersebut.
Katanya, para penghuni di PPR berkenaan tidak mampu untuk menyewa ambulans swasta yang mencecah hingga RM600 bagi sekali perkhidmatan.
Harapan yang sama turut diluahkan oleh Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Mustafa Kamal Syaripuddin.
Menurut beliau, inisiatif mengadakan 1 PPR 1 ambulans bukan sekadar soal kemudahan, tetapi satu keperluan asas bagi penduduk berpendapatan rendah (B40).
Sememangnya golongan tersebut tidak mampu untuk menyewa ambulans milik swasta kerana mereka juga terpaksa bergelut untuk menyara kehidupan harian keluarga.
Dengan sebab demikian, rata-rata mereka yang uzur terpaksa menanggung penderitaan tanpa mendapat rawatan lanjut, disebabkan kos pengangkutan yang tinggi, sehingga terpaksa mengabaikan kesihatan sendiri.
Keadaan ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
Justeru saya juga amat berharap agar kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dapat membuat pertimbangan sewajarnya supaya harapan penduduk yang tinggal di setiap PPR, terutama yang berjauhan dengan hospital dapat menempatkan sebuah ambulans di PPR mereka. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis






