NEGARA kita sudah 68 tahun mencapai kemerdekaan dan banyak perubahan sama ada kecil atau besar, bagaimanapun budaya kerja menggunakan kabel atau orang dalam yang sehingga kini tidak ada noktah untuk mengakhiri budaya yang sudah terpasak amalan sejak dahulu lagi.
Gejala ini sudah berakar ke dalam sektor awam dan swasta termasuk agensi kerajaan, penguatkuasa undang undang dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa cegah perbuatan terkeji.
Gejala kabel dalam berbagai bentuk seperti wang ringgit, memalsukan kelayakan pendidikan dan sebagainya secara halus mahupun kasar supaya mana-mana individu dapat pekerjaan meskipun tidak berpengalaman dalam sesebuah jawatan memerlukan keringat tenaga, idea dan lain-lain. Kita ambil contoh isu kuota jawatan apabila sesuatu pengambilan jawatan dalam jumlah terhad sedangkan yang memohon jawatan tersebut melebihi jumlah yang diperlukan.
Selain isu kuota, pengambilan orang tertentu kerap berlaku dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta bagi mengisi kekosongan jawatan. Ia secara tidak langsung membuang dan membunuh secara diam peluang orang yang benar-benar berminat dan mampu galas tanggungjawab, bukannya orang tidak sepatutnya.
Akibat daripada budaya paling toksik inilah yang menyebabkan ramai tawar hati dan hilang kepercayaan kepada sesebuah institusi pekerjaan.
Lebih-lebih lagi orang itu menghabiskan wang ringgit, kudrat dan masa untuk melanjutkan pelajaran tinggi demi mencapai cita-cita jawatan tersebut akan tetapi tidak tercapai apabila tidak dipandang oleh sektor masing-masing.
Tidak cukup itu, mereka dizalimi secara diam oleh orang-orang golongan durjana termasuk mengambil tindakan disiplin atas tuduhan tidak masuk akal walhal ia melibatkan masa depan, periuk nasi yang dialami mangsa gejala itu.
Gejala pengambilan kerja melalui kabel harus diambil serius bagi mencari solusi untuk perangi gejala tidak bermaruah manakala prosedur standard perlu diperbaiki dengan lebih ketat, jujur, amanah apabila mahu menggajikan mereka yang betul-betul berkelayakan mengikut jawatan bersesuaian bukannya ambil dari pintu belakang yang tiada usaha, kerja keras dan suka ambil jalan mudah waima saudara mara, rakan sendiri.
Kesedaran perlu dipupuk melalui peringkat keluarga, persekolahan sehingga pengajian tinggi agar sedar perbuatan kabel pekerjaan dan tidak terikut individu tidak bertanggungjawab. Kalau bukan kita, siapa lagi menegur dan membantah perbuatan ini. – UTUSAN
SANG PENEGUR,
Ipoh, Perak






