BARU-baru ini, Universiti Malaya (UM) mengadakan Pilihan Raya Kampus bagi memilih perwakilan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk sesi 2025/2026.
Selepas penamaan calon, terdapat lima gerakan pelajar yang berjaya berdaftar untuk bertanding dalam pilihan raya kampus kali ini. Berikutan itu, setiap gerakan pelajar dan calon-calon mereka mula giat berkempen di dalam kampus.
Namun, saya mendapati bahawa terdapat sesetengah calon atau gerakan pelajar yang menggunakan slogan “Kemenangan kami adalah kemenangan demokrasi” sebagai bahan kempen mereka. Saya tertanya-tanya, sekiranya gerakan pelajar lain pula yang menang, adakah itu bermaksud demokrasi telah kalah?
Slogan seperti ini sebenarnya mencerminkan kekeliruan terhadap makna demokrasi yang sebenar, seolah-olah hanya mereka sahaja yang layak mewakili semangat demokrasi dalam kampus.
Hakikatnya, tidak kira gerakan pelajar mana yang menang, setiap keputusan Pilihan Raya Kampus tetap merupakan satu kemenangan untuk demokrasi itu sendiri, ini kerana ia dibuat melalui undi, mandat, dan kepercayaan para siswa UM.
Tujuan Pilihan Raya Kampus bukan sekadar mencari siapa yang menang, tetapi menjadi platform bagi mahasiswa mempraktikkan nilai-nilai demokrasi. Antaranya ialah belajar untuk menghormati perbezaan pandangan, berkempen secara sihat, serta menerima kekalahan dengan hati terbuka.
Dalam sistem demokrasi, pihak yang kalah juga perlu percaya kepada sistem itu sendiri, kerana itulah nilai sebenar demokrasi, bukan hanya meraikan kemenangan, tetapi juga menghormati keputusan rakyat.
Akhir kata, demokrasi bukan milik mana-mana pihak, sebaliknya ia milik semua warga kampus yang berani bersuara, berfikir, dan membuat pilihan secara bebas. – UTUSAN
TEO WEI HONG
Mahasiswa Universiti Malaya






