MAYBANK Islamic akan menukar akad syariah bagi semua kad kredit dan caj Islamik daripada struktur Ujrah dan Qard kepada Komoditi Murabahah bermula 26 Disember ini.
Perubahan itu menandakan langkah terbesar dalam penyelarasan produk perbankan Islam pengguna sejak kad kredit patuh syariah diperkenalkan di Malaysia.
Pertukaran akad ini dilakukan bagi menepati kehendak syariah yang dikemas kini serta mengikuti amalan industri semasa, yang mana struktur murabahah kini menjadi asas paling meluas digunakan bagi pembiayaan pengguna.
Perubahan ini merupakan inisiatif seluruh industri yang disokong Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan berpandukan garis panduan Bank Negara.
Penggunaan kad, termasuk ganjaran, pulangan tunai, had kredit, transaksi, auto-debit dan pelan ansuran, tidak akan terjejas sepanjang perubahan ini. Nombor kad, tarikh luput, kelayakan dan laporan kredit juga kekal sama.
Pelaksanaan ini tidak memberi kesan kepada status CCRIS pelanggan kerana ini bukan pembiayaan baharu tetapi sekadar penggantian kontrak asas.
Di bawah akad baharu itu, Maybank akan menjalankan transaksi murabahah melibatkan pembelian dan penjualan komoditi patuh syariah bagi menstrukturkan semula asas kontrak kad kredit tersebut.
Komoditi seperti minyak sawit mentah dan logam akan digunakan melalui platform perdagangan yang diluluskan.
Melalui proses itu, bank membeli komoditi daripada pembekal, menjualnya kepada pelanggan pada harga kos beserta margin keuntungan dan seterusnya pelanggan melantik bank sebagai ejen untuk menjual semula komoditi berkenaan bagi mendapatkan tunai.
Jumlah itu kemudian dikreditkan sebagai limit kad. Walaupun prosesnya melibatkan transaksi komoditi sebenar, pelaksanaan dilakukan sepenuhnya oleh pihak bank tanpa memerlukan pelanggan membuat sebarang tindakan.
Meskipun struktur kontrak berubah, bank mengatakan caj kepada pelanggan kekal sama seperti sebelum ini. Namun begitu, kaedah pengiraan kini berpandukan harga jualan murabahah, termasuk margin keuntungan yang ditentukan bank.
Contoh pengiraan yang diberikan menunjukkan had kredit RM10,000 boleh membawa kepada harga jualan maksimum RM24,000 apabila margin 28 peratus diaplikasikan bagi tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, jumlah itu hanya diguna sebagai had kontrak dan bukan amaun yang perlu dibayar pelanggan secara langsung, kecuali berlaku tunggakan pada tahap maksimum.
Penggantian akad ini turut dikenakan ke atas kad yang baharu diterima, kad yang sedang disiasat atas isu penipuan atau yang disekat buat sementara, kecuali sekiranya akaun ditutup sebelum tarikh kuat kuasa.
Dengan perubahan ini, semua kad kredit dan caj Islamik Maybank akan beroperasi sepenuhnya di bawah struktur murabahah, menjadikan bulan ini penting dalam penyelarasan produk perbankan Islam negara.
Walaupun fungsi kad kekal sepenuhnya, namun asas kontrak yang digunakan pelanggan berubah kepada struktur jual beli yang lebih ketat dari sudut pematuhan syariah, sejajar dengan standard industri global semasa. – UTUSAN
DR. MOHAMAD ISA ABD. JALIL
Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan
Universiti Malaysia Sabah (UMS)






