SEKTOR kurier kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. Pasaran kurier negara dijangka mencecah RM6.9 bilion tahun ini, seiring dengan peningkatan mendadak penggunaan perkhidmatan penghantaran untuk barangan dipesan secara dalam talian.
Angka ini membuktikan bahawa industri kurier terus menjadi nadi utama kepada pembangunan ekonomi digital negara.
Data terkini turut memperlihatkan pertumbuhan luar biasa. Pada 2024, lebih 900 juta bungkusan dihantar di seluruh negara, meningkat ketara berbanding hanya 52 juta pada 2015. Lonjakan ini mencerminkan transformasi gaya hidup masyarakat semakin bergantung kepada perkhidmatan penghantaran sebagai sebahagian rutin harian. Ia juga menunjukkan tahap kecekapan sistem logistik negara semakin maju.
Dalam konteks pembangunan logistik, warga kurier memainkan peranan penting sebagai penyambung antara pengeluar, peniaga dan pengguna, memastikan rantaian bekalan berjalan lancar dari gudang hingga ke tangan penerima. Pertumbuhan sektor ini turut mencipta peluang pekerjaan baharu, memperkukuh infrastruktur logistik tempatan, dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau.
Perkhidmatan kurier juga menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar. Melalui rangkaian penghantaran semakin meluas, produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari kawasan pedalaman kini mampu menembusi pasaran lebih besar. Ini sekaligus memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk turut serta dalam arus ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Namun, di sebalik kepesatan itu, kehidupan warga kurier tidak mudah. Mereka berdepan tekanan masa dengan beban kerja yang tinggi, puluhan hingga ratusan bungkusan perlu dihantar setiap hari. Kesesakan jalan raya, cuaca tidak menentu, serta risiko keselamatan menjadi cabaran harian yang mereka tempuhi dengan penuh tanggungjawab.
Bagi kebanyakan kurier, pendapatan bergantung kepada bilangan penghantaran disiapkan. Model kerja berasaskan gig menuntut ketahanan fizikal dan mental tinggi. Kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan ketidaktentuan permintaan turut memberi kesan terhadap kestabilan kewangan mereka. Namun begitu, semangat dan dedikasi tinggi ditunjukkan wajar dipuji.
Etika kerja, kejujuran dan layanan mesra menjadikan mereka bukan sekadar penghantar barangan, tetapi juga lambang kecekapan dan integriti industri logistik Malaysia. Mereka membuktikan bahawa kecemerlangan kerja bukan diukur melalui pangkat atau kedudukan, tetapi melalui keikhlasan dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Dalam usaha menghargai sumbangan besar ini, kerajaan melalui Pelan Peningkatan Industri Kurier terus berusaha memperkukuh keselamatan, kebajikan dan profesionalisme dalam sektor ini. Langkah seperti perlindungan insurans, latihan kemahiran dan pengukuhan piawaian operasi perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan warga kurier terpelihara.
Hari Kurier Negara bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi pengiktirafan kepada wira jalanan, penyumbang secara langsung kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ketika kita menerima bungkusan di depan rumah, wajar kita sedar bahawa di sebalik penghantaran itu, ada pengorbanan besar yang jarang disebut.
Selamat Hari Kurier Negara-“Merakyatkan Penghantaran, Menghubungkan Negara”. Semoga semangat mereka terus menjadi inspirasi dalam membina sistem logistik Malaysia yang mampan, cekap dan berdaya saing di persada dunia. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD.
HAFIZ ZULFAKAR
Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam






