ZAMAN kini sudah pun berubah. Terdapat banyak aspek kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh para pelajar kita selain daripada aspek teori dan akademik semata-mata seperti kemahiran untuk berfikir aras tinggi, kemahiran untuk berkomunikasi dengan berani dan penuh keyakinan, kemahiran untuk menggunakan pelbagai jenis aplikasi teknologi moden dan lain-lain lagi.
Sesuai dengan perkembangan zaman ini, proses penilaian pelajar juga harus turut berubah supaya kita benar-benar dapat menilai tahap prestasi pelajar kita meliputi segala aspek termasuk aspek kemahiran dalam kehidupan bukan hanya menilai mereka dari aspek teori, akademik dan jumlah A yang berjaya diperoleh semata-mata.
Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengubah minda mereka juga, kejayaan mendapat A dalam peperiksaan tidak bermakna seseorang itu akan berjaya dalam kehidupan. Mereka yang gagal mendapat sebarang A pun boleh berjaya dalam kehidupan. Ini menunjukkan kepada kita untuk tidak menilai prestasi seseorang individu itu hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.
Pihak-pihak yang berkaitan seperti pihak Kementerian Pendidikan boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji dengan lebih terperinci lagi. Jawatankuasa khas ini perlu dianggotai oleh golongan pakar di dalam sistem pendidikan, para guru, serta anggota badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Apa-apa keputusan yang hendak diambil kelak hendaklah mengambil kira suara pelajar kita kerana mereka yang akan menerima kesan daripada sebarang tindakan yang hendak diambil. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakukli Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)






