MUKADIMAH
JANJI untuk membina sekolah jenis kebangsaan Tamil Ladang Minyak, di Serendah, Hulu Selangor terus dijadikan sebagai isu politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang menuntut supaya kerajaan yang mentadbir hari ini menunaikan janji yang telah dibuat puluhan tahun dahulu.
Hakikatnya, janji untuk membina sekolah ini sebenarnya tidak pernah dilupakan oleh kerajaan. Malah, sekolah ini tetap akan dibina dalam tempoh jangka panjang, seperti yang dijanjikan selama ini.
Ikuti temubual bersama wartawan Nexbyte, OMAR ZIN bersama Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN yang menjelaskan perancangan sekolah ini dan mengapa sekolah vernakular seperti sekolah Tamil masih lagi penting dan relevan ketika ini.
UTUSAN: Apa perancangan untuk membina sekolah ini?
DR. SATHIA: Kita sedang kenal pasti satu dua tempat yang sesuai dan kita dalam perbincangan. Saya harap saya boleh bawa ini kepada Menteri Besar Selangor, kerana kita perlukan lima setengah ekar sekurang-kurangnya untuk pembinaan sekolah bantuan penuh.
Kedua, ada kawasan logistik yang penduduk dan komuniti India yang ada. ia perlu senang akses. Jadi, kawasan sesuai ini lebih kepada tengah-tengah Antara Gapi dan Serendah. Jadi, boleh dapatkan kedua-dua penduduk komuniti India yang berada di Antara Gapi dan juga di kawasan Serendah kerana di kawasan Sungai Choh sudah ada sekolah. Jadi, kita nak pastikan kawasan Serendah dan Antara Gapi ini kita dapat sekolah Tamil, ini rancangan kita yang sesuai.
Paling penting, logistik mesti mudah. Jadi, ada kemudahan pengangkutan awam ataupun mudah kenderaan ibu bapa keluar masuk. Senang masuk. jangan yang susah dan tidak sesuai. Kalau boleh, tanah ini perlu di bawah kerajaan, bukan seperti tapak di sekolah sebelum ini, yang itu di bawah tanggungan individu.
Berapa lama ambil masa untuk membina sekolah ini?
Bila kita sudah adakan kelas bahasa ibunda (POL) Tamil contohnya di sekolah kebangsaan dan kalau sekolah Cina membantu boleh buat POL, kita sudah tahu berapa ramai pelajar India di sana, secara tidak langsung kita sudah buat bancian. Dalam jangka masa sederhana, kita boleh tengok sekolah-sekolah Tamil yang ada, berapa yang kekurangan pelajar.
Lepas itu, kita perlukan tanah, lepas kita cari, katakan dalam masa enam bulan ke satu tahun untuk dapatkan tanah, kita perlukan masa dua ke tiga tahun untuk bina sekolah. Beri peluang kepada kita untuk lengkapkan semua ini dengan betul. Tetapi bukan sampai 20 ke 30 tahun, kemungkinan besar dalam satu penggal.
Adakah kita masih perlukan sekolah vernakular?
Tradisi kita, budaya kita, kita kena kekalkan tapi untuk kekalkan itu kena faham keadaannya. Tradisi itu perlu kekalkan, bahasa itu perlu kekalkan.
Yang kata saya tak nak sekolah Tamil itu betul-betul fitnah. Bagi saya, ini satu fitnah yang dibesar-besarkan oleh pihak tertentu, saya tidak tahu apa agenda mereka.
Kita akan kekalkan semua 530 sekolah Tamil di Malaysia. Tidak ada isu. Tak akan ada sekolah yang terkesan. Tidak ada, kita nak kekalkan sekolah ini, sekolah yang kurang pelajar. kita nak tambah di sekolah itu semua.
Apa pelan yang diperlukan untuk pelihara masa depan sekolah vernakular seperti sekolah Tamil?
Dalam jangka masa pendek, pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan dan sekolah Cina perlu kelas POL. Jangka masa sederhana, mana-mana sekolah yang kita ada sekarang ditambah baik dan tambahkan pelajar. Lepas itu, jangka masa panjang, sekolah-sekolah yang belum dibina lagi, kita perlu bina, ini rancangan yang sepatutnya kita selarikan.
Kita perlu tekankan dan perlu jelaskan. Kita perlu beritahu kenapa ibu bapa tidak hantar ke sekolah Tamil. Apa yang kita perlu buat, macam mana kita boleh membantu, jadi kita akan tambah mana-mana kekurangan.
Bagaimana sekolah Tamil main peranan bentuk komuniti India?
Kalau boleh, habis sekolah, perlu bertutur bahasa Tamil, bertutur bahasa Melayu dan bertutur bahasa Inggeris juga, kita tak nak ketinggalan. Kalau boleh tambah bahasa Cina pun tidak ada salah, lagi banyak bahasa lagi bagus.
Kalau bahasa Cina boleh bagi manfaat kepada budak-budak India, budak-budak Cina juga boleh belajar bahasa Tamil, manfaat budak-budak Cina juga, jadi siapa nak belajar, kita alu-alukan.
Bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda?
Bagi saya, kedua-duanya seperti dua mata saya. Bahasa ibunda adalah identiti saya. Sementara, bahasa kebangsaan adalah kebanggaan saya. Bukan sahaja saya, tapi, semua rakyat Malaysia termasuk pekerja asing di negara perlu bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Kita anak Malaysia, kita perlu kekalkan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing. Ini yang kita mahu, kita tidak mahu mengetepikan mana-mana pihak.
Adakah bahasa ibunda masih relevan?
Saya akan marah bila ada orang kata saya tidak tahu bahasa sendiri, takkan cakap bahasa ibunda kita tidak tahu. Bahasa ibunda adalah bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan adalah bahasa kebangsaan, kita perlu hormat satu sama lain, kalau kita sendiri tidak hormat bahasa kita, macam mana orang lain nak hormat bahasa kita. – UTUSAN






