PETALING JAYA: Pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dibenarkan keluar daripada hospital pada hari ini selepas selesai menjalani empat pembedahan ekoran kecederaan disimbah asid 5 Mei lalu.
Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan pemain Selangor FC itu daripada kecederaan serius amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak.
“Pihak kelab ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad Kamal (Pakar Unit Plastik & Rekonstruktif), seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thompson Hospital Kota Damansara yang sentiasa komited dalam memberikan penjagaan komprehensif, serta memberi rumbangan besar kepada rawatan dan pemulihan Faisal.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan juga kepada keluarga besar Selangor FC, pemimpin-pemimpin negeri dan negara, badan kerajaan dan swasta, komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa yang memberi semangat kepada ikon bola sepak kesayangan kita,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan.-UTUSAN






