SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot membatalkan sejumlah enam penerbangan di antara Singapura dengan Malaysia Timur serta Indonesia berikutan beberapa letusan gunung berapi, Gunung Ruang.
Gunung berapi di Indonesia mula meletus pada petang Selasa lalu, menolak asap lebih 1.5 kilometer ke langit, mendorong pihak berkuasa tempatan memindahkan ribuan penduduk dan menutup lapangan terbang antarabangsa terdekat di bandar Manado di pulau Sulawesi.
Scoot, anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines (SIA) berkata, pembatalan itu merupakan langkah berjaga-jaga.
Ia membatalkan dua penerbangan yang dijadualkan berlepas pada hari Jumaat – TR216 dan TR 217.
Penerbangan itu di antara Singapura dan bandar Manado di Indonesia.
Ia juga sebelum ini membatalkan empat penerbangan antara Singapura dan Malaysia Timur, semalam.
TR490 dan TR491 sepatutnya terbang antara Singapura dan Kota Kinabalu di Sabah manakala TR414 dan TR415 dijadualkan terbang antara Singapura dan Miri, Sarawak.
“Scoot sedang membantu untuk menempatkan semula pelanggan yang terjejas ke penerbangan berikutnya, jika tersedia,” kata syarikat penerbangan itu.
“Sebagai alternatif, pelanggan yang terjejas juga boleh meminta bayaran balik penuh jika mereka memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka.”
Syarikat penerbangan lain di rantau ini turut terjejas.
Sebagai contoh, Malaysia Airlines berkata di Facebook bahawa hampir 20 penerbangan antara Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada Khamis dibatalkan.
Bagi syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, penerbangan ke dan dari sembilan lapangan terbang termasuk Kota Kinabalu, Miri, Kuching dan Brunei dibatalkan, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berita semalam. -CNA






