KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menafikan dakwaan telah memohon untuk kembali menyertai parti itu seperti yang didakwa oleh aktivis, Iswardy Morni menerusi satu audio siar baru-baru ini.
Menurut Tian Chua, tuduhan yang menyatakan permohonannya ditolak oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat adalah satu pembohongan yang berniat jahat.
“Saya tidak pasti apa motif beliau menyebarkan fitnah ini. Sejak dipecat, saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk kembali aktif dalam kegiatan kepartian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas beliau, tumpuannya kini lebih terarah kepada isu-isu kemanusiaan seperti krisis yang sedang berlaku di Palestin dan selesa bergerak sebagai aktivis bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.
“Saya percaya peranan ini lebih berkesan untuk menghimpunkan sokongan rakyat merentas ideologi dan fahaman politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tian Chua turut menegaskan komitmennya dalam mempertahankan kebebasan bersuara serta menghormati ruang perbezaan pandangan, walaupun terdapat sesetengah kandungan audio siar yang disifatkannya sebagai tidak berasas.
“Amaran keras saya kepada Iswardy agar jangan heret saya dalam permainan politik konyol kamu. Terima kasih,” katanya. – UTUSAN






