SEPANG: Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines MH8503 yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 12.32 tengah hari tadi.
Pesawat Airbus A330-300 yang membawa 170 penumpang itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi 10.20 malam (waktu Jeddah).
Mereka yang tiba termasuk 163 rakyat Malaysia termasuk pelajar, pengembara dan jemaah umrah yang dikumpulkan dari Jeddah, Syria, Jordan dan Qatar berusia antara 4 hingga 88 tahun.
Turut bersama dalam pesawat itu adalah lima warga Thailand dan seorang warga Indonesia dan seorang warga Maghribi yang juga ahli keluarga rakyat tempatan.
Terdahulu, pesawat berkenaan tiba di Jeddah pada 8.35 malam (1.35 pagi, Rabu waktu Malaysia).
Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat dilaksanakan atas arahan segera Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan situasi keselamatan di rantau berkenaan yang dilaporkan kian meruncing.
Sebelum ini, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk melakukan segala yang termampu untuk memastikan rakyat Malaysia yang terlibat kembali ke tanah air dengan selamat.
Misi itu turut membawa pulang sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi termasuk Arab Saudi, Syria, Jordan dan Qatar. Mereka terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah.
Sebelum penerbangan ini, lebih 400 rakyat Malaysia pada awalnya mendaftar minat untuk menyertai operasi evakuasi.
Namun, selepas penerbangan komersial kembali beroperasi, sebahagian daripada mereka berjaya pulang melalui penerbangan lain.
Operasi bersepadu ini diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di rantau Asia Barat. – UTUSAN






