PETALING JAYA: Atlet Terengganu, Muhammad Armin Zahril Abdul Latif bukan sahaja memenuhi ramalan untuk menjuarai acara 110 meter (m) berpagar lelaki, malah menghadiahkan Terengganu emas bersama rekod baharu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Pemegang rekod kebangsaan itu mencatat 13.66 saat (s) dalam perlumbaan akhir untuk memperbaharui rekod kejohanan yang baharu sahaja dicipta atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau pada sesi separuh akhir pagi tadi.
Hazriq sebelum itu mencuri tumpuan apabila melakar 13.78s untuk memadam rekod berusia 18 tahun milik bekas atlet kebangsaan Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian, yang mencatat 14.10s pada SUKMA Terengganu 2008.
Namun, rekod baharu itu tidak bertahan lama apabila Armin yang turun sebagai pemegang rekod kebangsaan memecut lebih pantas dalam final, sekali gus menjadikan saingan 110m berpagar antara acara paling menarik hari ini.
Lebih mengagumkan, catatan 13.66s Armin hanya 0.03 saat di belakang rekod kebangsaannya sendiri, iaitu 13.63s yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun di China bulan lalu.
Hazriq terpaksa berpuas hati dengan perak selepas menamatkan perlumbaan dalam 13.83s, manakala gangsa menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Ruzki A’Limi Mohd Zahizal dengan catatan 13.96s.
Dalam acara 100m berpagar wanita pula, atlet Kelantan, Fatin Nashira Mohd Fadzil muncul juara dengan catatan 14.49s, diikuti Farah Syakira Azifasari dari Perak yang meraih perak dengan 14.52s dan Syarifah Nur Alisya Syed Zafrina dari Sarawak melengkapkan podium dengan 14.55s.






