SHAH ALAM: Pengorbanan masa dan kesanggupan mengetepikan kehidupan sosial membuahkan hasil buat atlet judo Pahang, Danish Mirza Nasrin apabila dia meraih emas kategori lebih 90 kilogram (kg) lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, hari ini.
Danish, 18, menewaskan wakil Pulau Pinang, Shaldon Thae menerusi ippon pada perlawanan akhir di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam untuk menebus kekecewaan apabila gagal meraih pingat pada penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024.
Kejayaan itu menjadi bukti kesungguhannya sepanjang tempoh dua tahun lalu selepas Danish memilih mengorbankan masa bersama rakan dan mengurangkan aktiviti seperti bermain permainan video demi memberi tumpuan kepada latihan.
“Pengorbanan terbesar adalah masa bersama rakan kerana saya terpaksa mengorbankan masa untuk keluar dan bermain permainan video demi latihan,” katanya.
Lebih mengagumkan, Danish mencipta kejutan lebih awal apabila menyingkirkan pemegang tali pinggang hitam Johor, Amir Luqman Azhar menerusi ippon pada aksi separuh akhir walaupun dirinya hanya memiliki tali pinggang biru.
Danish berkata, perbezaan gred tali pinggang tidak pernah menggugat keyakinannya kerana dia sentiasa berpegang kepada pesanan jurulatih bahawa apa sahaja boleh berlaku apabila pertarungan bermula di atas tatami.
“Jurulatih selalu memberitahu saya bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku di atas tatami, jadi saya memberikan segala yang ada dan berjuang habis-habisan untuk diri sendiri serta negeri,” katanya.
Selepas mencipta kejutan di pentas SUKMA, Danish kini menyimpan impian untuk mengetuk pintu skuad kebangsaan dan bersedia menyahut peluang sekiranya dipanggil, meskipun setakat ini masih belum menerima tawaran untuk menyertai pasukan negara. – UTUSAN






