KUALA LUMPUR: Isu pelantikan doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan mesti dibawa dan dibahaskan di Parlimen.
Semua 220 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang akan mengikuti sidang khas Parlimen pada Isnin ini dan mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula 6 September nanti perlu mencari kata putus tentang status golongan profesional berkenaan.
Bercakap kepada Nexbyte, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, masalah itu juga harus diberi sepenuh perhatian kerana kerajaan tidak akan mampu mengendalikan krisis kesihatan tanpa sokongan lebih 23,000 doktor kontrak sekarang.
Menurutnya, lebih ramai lagi doktor kontrak akan meletakkan jawatan dan berhenti sekiranya kerajaan tidak menetapkan dasar yang jelas mengenai kriteria pelantikan tetap serta manfaat yang diterima sama seperti doktor tetap kerajaan.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan menghargai setiap sumbangan, jasa dan pengorbanan doktor kontrak kerana mereka yang berperanan sebagai tulang belakang terhadap setiap masalah kesihatan dalam negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sejak 2016, seramai 789 atau 3.4 peratus sahaja daripada 23,000 pegawai perubatan dilantik secara tetap manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak atau terpaksa bekerja di sektor swasta yang biasanya hanya memilih pakar dan pengalaman tujuh tahun ke atas.
Mengulas lanjut, kata Boon Chye menggesa semua pihak iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula dasar-dasar sedia ada yang dilihat tidak memihak kepada doktor kontrak.
“Saya berharap supaya tiada lagi ketidaksamarataan antara doktor kontrak dan doktor tetap. Sebagai doktor, saya juga faham apa yang mereka hadapi. Sama ada kontrak atau tetap, doktor tetap memikul amanah yang besar untuk negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE






