KUALA LUMPUR: Tiada parti yang dilihat mendahului dalam tempoh lima hari aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Nexbyte, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, setakat ini sasaran parti politik hanya tertumpu kepada pengundi mereka dan tidak keluar daripada ruang lingkup itu.
“Secara fizikalnya katakan melalui ‘walkabout’ secara tersirat atau bendera poster, ketiga-tiga parti utama tiada bezanya. Kalau ditinjau dari dalam dunia maya, sama sahaja. Cuma yang nampak aktifnya adalah mencapai sasaran dalam kalangan penyokong mereka. Kalau nak lihat
sasaran keluar daripada penyokong mereka, ia agak sukar kerana terlampau suntuk masanya.
“Mereka memang aktif dalam dunia maya, tetap aktif dalam dunia mereka sahaja. Saya belum lihat kerangka strategi ketiga-tiga entiti utama ini. Tetapi dalam hal calon lain atau Bebas, jauh ketinggalan secara fizikal dan maya,” katanya.
Jelas beliau, ketiga-tiga parti itu perlu keluar dari zon selesa bagi menarik minat pengundi pihak lawan atau mereka yang berada atas pagar.
“Kempen fizikal atau maya, ketiga-tiga entiti memang bersaing, tetapi persaingan dalam dunia maya hanya dalam dunia mereka. Mereka perlu keluar dari zon selesa untuk membentuk persepsi dalam kalangan bukan penyokong, malah yang penting dalam kalangan atas pagar.
“Nilai tambah selain daripada itu, tidak ada kerana sepatutnya kempen alam maya kena ada format yang berlainan dan gerak saraf berlainan. Kalau diambil poster diletakkan begitu sahaja, tidak ada makna kerana maksud kempen tidak digunakan sepenuhnya.
“Mereka perlu ubah sikit strategi supaya ada faktor wow,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, UMNO masih mempunyai kelebihan di Melaka susulan sentimen Melayu yang masih utuh di sana.
“Orang di Melaka sangat kuat dengan sentimen Melayunya, jadi ia memberi kelebihan kepada UMNO berbanding parti lain dan mereka sangat mengingati keperitan yang dilalui sewaktu zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 22 bulan, jadi PH bukan pilihan utama mereka.
“Bagi Pas dan bersatu dalam Perikatan Nasional, ia juga dilihat tidak menjadi pilihan kerana Pas dilihat hanya menumpang tuah pada parti yang ‘tebuk atap’. Kekuatan di situ tidak ada.
“Ini bermakna UMNO masih menjadi pilihan mereka,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE






