PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka semakin berkembang dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang jika semua pelaburan asing yang telah diluluskan dapat dimeterai sepenuhnya.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, susulan keadaan mata wang yang rendah pada ketika ini, kerajaan harus meyakinkan pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
“Sekiranya pelabur asing melabur di negara ini ketika keadaan mata wang ringgit yang rendah, maka kos perniagaan juga akan menjadi lebih rendah.
KEGUSARAN
“Bagaimanapun, harus difahami, jika ringgit masih dalam keadaan yang agak rendah dalam tempoh yang panjang, ia akan mencetuskan kegusaran kepada pelabur asing.
“Selain itu, dengan meyakinkan lebih banyak syarikat pelabur asing yang telah diluluskan untuk berniaga di sini, maka keadaan itu dapat memperkukuhkan ringgit,” katanya ketika dihubungi.
Akhbar ini semalam melaporkan, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lepas, meningkat 23 peratus berbanding pada tahun 2022.
Peningkatan itu sekali gus menyaksikan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, terdapat sedikit halangan dalam memanfaatkan kemasukan pelabur-pelabur asing ke negara ini.
Jelasnya, antara halangan terbesar adalah negara mungkin sukar untuk memenuhi tenaga pekerja berkemahiran bagi melancarkan operasi perniagaan pelaburan asing.
Berikutan itu, katanya, kemungkinan peluang pekerjaan tersebut akan diberikan dibuka kepada mereka yang mempunyai kemahiran berkenaan walaupun dari negara luar.
“Dengan ini, pulangan manfaat daripada pelabur asing kepada negara akan berkurangan,” katanya.
DASAR
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kemasukan pelaburan-pelaburan asing itu jelas memperlihat dasar ekonomi negara ini dalam keadaan yang baik.
“Bagaimanapun, negara tidak seharusnya terlampau ‘selesa’ berhubung jumlah peningkatan kelulusan pelaburan asing tersebut, kerana perlu diingatkan bahawa matlamat pelabur luar ialah memaksimumkan keuntungan perniagaan mereka.
“Rundingan serta tawaran antara syarikat tempatan dengan syarikat asing perlu diadakan, sementara dalam tempoh pelabur asing tersebut kini sedang mengatur strategi menjalankan perniagaan mereka di negara,” katanya.
Sehubungan itu, Barjoyai Bardai berkata, walaupun negara mungkin tidak dapat menyediakan tenaga berkemahiran, syarikat tempatan boleh meyakinkan syarikat asing tersebut bahawa mereka juga dapat membekal bahan-bahan mentah bagi memenuhi keperluan kilang.
Jelasnya, proses tersebut sekaligus dapat memberikan manfaat kepada syarikat tempatan sederhana dan kecil. – UTUSAN






