KUALA SELANGOR: Sembilan tapak yang menjadi tempat pelupusan sampah haram ditutup sepenuhnya selepas diserbu pihak berkuasa di sekitar Kampung Seri Sentosa, Ijok di sini, semalam.
Tindakan tegas itu dilakukan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi Ops Wangi, bermula kira-kira pukul 10 pagi.
Jurucakap Unit Korporat MPKS berkata, operasi bersepadu sehingga 12 tengah malam itu bertujuan membanteras pembuangan sisa secara tidak terkawal di kawasan tersebut.
Menurutnya, seramai 50 anggota daripada pelbagai jabatan termasuk Bahagian Penguatkuasa, Kesihatan dan Persekitaran, Landskap serta Unit Korporat digerakkan bagi memantau sembilan lokasi panas pelupusan sampah haram.
“Hasil pemeriksaan di tiga lokasi membawa kepada sitaan empat jentera pengendalian sampah dan sebuah lori.
“Kesemua lokasi itu telah ditutup sepenuhnya dengan penghadang dan pita keselamatan bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah berulang,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut jurucakap itu, satu kompaun turut dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007 terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam.
“MPKS memandang serius isu itu kerana ia mencemarkan alam sekitar, menjejaskan kesihatan awam dan mengundang risiko keselamatan. Pusat pelupusan sampah yang sah di Kuala Selangor hanya di Jeram Sanitary Landfill,” ujarnya.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan diperhebatkan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan daerah ini kekal bersih, selamat dan sejahtera.
“Pengusaha dan kontraktor diingatkan menghantar sisa buangan ke tapak pelupusan berlesen atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Seri Sentosa, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor yang dahulunya seluas 20 hektar, kini semakin melebar dengan keluasan kira-kira 52 hektar.
Keluasan kawasan itu melebihi separuh daripada keluasan Istana Negara yang boleh memuatkan 72 padang bola sepak, 12 Menara Berkembar Petronas atau tiga kompleks Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan denda atau hukuman terhadap didakwa tidak menyelesaikan masalah itu seperti penguatkuasaan terhadap pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dikuatkuasakan pada 2020.
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan nahu tindakan diambil bagi menyelesaikan terus isu tapak pelupusan sampah haram di negeri ini terutama dekat Kampung Seri Sentosa yang didapati semakin melebar.
Kerajaan Selangor merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi penyelesaian isu itu termasuk perbincangan antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), MPKS, PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN






