SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memberikan suntikan percuma vaksin influenza A kepada 12,500 pelajar di empat daerah berisiko tinggi melibatkan kos berjumlah RM1 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi berhubung penularan wabak tersebut, mutakhir ini.
“Berkait tahap kesihatan pelajar yang mengalami risiko akibat penularan penyakit influenza A, kerajaan negeri memberikan suntikan percuma kepada pelajar di Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
“Ia akan bermula seawal minggu depan dan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nexbyte semalam melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kes kematian kanak-kanak baru-baru ini mempunyai kaitan dengan jangkitan virus influenza A.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Samarahan dan seorang lagi berusia 11 tahun di Terengganu disahkan positif virus berkenaan.
Malah, di Selangor, seorang kanak-kanak kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan influenza A, semalam.
Khamis lepas, kadar Influenza-Like Illness (ILI) dilaporkan meningkat diikuti pertambahan jumlah kluster influenza yang kebanyakannya wujud di institusi pendidikan.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 97 kluster influenza (meliputi influenza A dan B) dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40, meningkat berbanding 14 kluster pada ME 39/2025. – UTUSAN






