KUALA SELANGOR: Tiada sebarang rundingan mengenai tambahan pampasan kepada 19 pemilik tanah dekat Kampung Jawa, Klang yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, tempoh lanjutan terakhir selama dua minggu bagi pengosongan lokaliti terlibat disifatkan memadai kepada penduduk.
Katanya, selepas tempoh itu jika masih ada yang belum berpindah, proses pengambilan akan diteruskan kerana ia melibatkan ribuan orang yang perlu mendapat faedah.
“Ya, dua minggu itu sudah cukup sebab saya sudah bawa bincang dan mereka minta permintaan terakhir, saya sudah benarkan.
“Semua proses dilalui sepenuhnya termasuk nilaian pampasan yang dilakukan pihak penimbang tara. Ia bukan ditentukan oleh pihak pemaju, tetapi pihak penimbang tara yang saya rasa menilai secara saksama dan adil. Jadi kena terima hakikat itulah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin pihak kementerian kerana projek WCE menghubungkan dan mempunyai nilaian ekonomi yang besar
Katanya, perkara berkenaan sudah melalui proses undang-undang dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi memastikan pampasan diberikan secara adil dan saksama kepada penduduk yang terlibat.
“Tidak mungkin 150 meter (yang tergendala) itu akan mengehadkan atau hentikan seluruh jajaran, yang bukan nilai projek tetapi menyelesaikan masalah komunikasi dan perhubungan dari Selatan hingga Utara.
“Saya rasa dengan sewaan rumah yang ditawarkan itu, kita sudah menawarkan nilai yang secukupnya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ada pihak cuba menjadikan isu ini polemik kaum, beliau berkata, tindakan kerajaan adalah demi kemaslahatan umum. – UTUSAN






