SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersedia menimbang dan meneliti bantuan bagi menanggung sebahagian kos bayaran sewa bulanan bagi penduduk Kampung Jawa yang memohon inisiatif rumah di bawah Skim Smart Sewa.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pihaknya baru menerima 21 permohonan terhadap skim tersebut termasuk 19 penduduk yang baru mengosongkan rumah mereka pada 24 November lalu bagi memberi laluan pembinaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Berdasarkan mesyuarat yang lepas, kita boleh menyediakan rumah sahaja. Dari segi prosedurnya, (seperti) membayar deposit dan juga sewa perlu dipatuhi. Tetapi ada permintaan (bantuan), yang itu saya tengah berbincang dengan Yang Amat Berhormat (Menteri Besar).
“Kita sedang tengok bagaimana prosedurnya untuk kita bantu. Mungkin kita tak kecualikan pembayaran deposit, tetapi dari segi penyewaannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025, hari ini.
Beliau memaklumkan terdapat empat tempat rumah Skim Smart Sewa dalam lingkungan enam hingga 10 kilometer dari kawasan Kampung Jawa, Klang.
“Ada empat tempat dan kita minta mereka pilih. Ada di antara yang dipilih itu mempunyai fasiliti yang baik seperti ada kolam renang dan kadar sewanya pula sebanyak RM900,” jelasnya.
Terdahulu, sebahagian daripada penduduk Kampung Jawa yang terlibat dengan pemindahan di kawasan terlibat pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini meminta kerajaan negeri percepat kelulusan permohonan Skim Smart Sewa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George berkata, beliau sudah pun memohon kepada kerajaan negeri supaya memberi bantuan melalui Skim Smart Sewa dan percepat kelulusan proses permohonannya.
Jelas Borhan, bagaimanapun pihaknya akan meneliti kesemua permohonan terlebih dahulu sebelum meluluskan bagi mengenal pasti ia tidak disewakan kembali kepada orang lain terutama warga asing.
“Tak boleh langsung. Sebab itu kita hendak tengok. Nama (senarai) kita akan minta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sana memastikan penyewa adalah benar-benar genuine (penduduk di Kampung Jawa yang terlibat),” ujarnya.
Nexbyte hari ini melaporkan, kesemua baki 19 pemilik tanah dan penduduk Kampung Jawa, di sini akur dengan arahan pengosongan dan berpindah keluar sejak tarikh akhir tempoh diberikan sehingga 24 November lalu.
Pemindahan tersebut memberi laluan kepada sambungan pembinaan Lebuhraya WCE di atas jajaran 150 meter pada Seksyen 3 projek berkenaan yang menghubungkan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan Lebuhraya Persekutuan di Sungai Rasau, di sini. – UTUSAN






