JERANTUT: Semangat kebersamaan masyarakat Felda terus terserlah apabila kepimpinan setempat bersama pengurusan tanah rancangan itu turun padang membantu sebuah keluarga peneroka di Felda Jengka 12 yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dijilat api kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Kejadian itu membabitkan kediaman milik Selamah@Esah Hassan, peneroka bersama Felda Plantation Management Sdn. Bhd. (FPMSB), yang kini tinggal sehelai sepinggang bersama dua ahli keluarga lain.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Setempat Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pihaknya bersama pengurusan Felda dan kepimpinan masyarakat segera menyalurkan bantuan awal sebaik menerima maklumat kejadian.
“Bantuan segera disampaikan bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan kediaman dan barangan keperluan akibat kebakaran. Kita berharap mangsa dan keluarga terus tabah menghadapi ujian ini,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Turut hadir menyampaikan sumbangan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, NorSarfinaz Mohd. Azman, Pengurus Felda Jengka 12, Mohd. Amir Jusoh dan Ketua Peneroka Felda Jengka 12, Mohd. Taufik Mansor.
Razak berkata, kerjasama erat antara pengurusan Felda, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat sekali gus membantu meringankan beban mangsa kebakaran.
Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.
“Pihak berkaitan sedang menilai keperluan lanjut mangsa sementara menunggu siasatan lengkap berhubung punca kebakaran,” katanya. – UTUSAN






