PETALING JAYA: BS Fitness Nutrition (M) Sdn. Bhd. (BS Nutrition) terus mengorak langkah memperluaskan pengaruhnya dalam industri sukan serantau apabila diumumkan sebagai rakan strategik protein rasmi bagi acara BYON Combat Showbiz 8 yang akan berlangsung di Tennis Indoor Senayan, Jakarta pada 29 Ogos ini.
Kerjasama tersebut menjadi satu lagi bukti komitmen syarikat nutrisi sukan dari Malaysia itu dalam menyokong pembangunan atlet dan komuniti kecergasan, khususnya dalam sukan berintensiti tinggi yang memerlukan tahap kecergasan, daya tahan serta proses pemulihan optimum.
BYON Combat Showbiz 8 merupakan antara acara sukan tempur yang semakin mendapat perhatian di rantau Asia Tenggara kerana menggabungkan elemen pertandingan profesional, hiburan dan promosi dalam satu platform berskala besar.
Penganjuran acara itu dijangka menghimpunkan atlet, personaliti sukan tempur dan ribuan peminat dari seluruh rantau, sekali gus menjadikannya medan terbaik untuk memperkenalkan jenama serta produk berkaitan kecergasan dan nutrisi.
Penyertaan BS Nutrition sebagai rakan protein rasmi acara tersebut dilihat bertepatan dengan keperluan atlet sukan tempur yang memerlukan sokongan nutrisi berkualiti bagi membantu meningkatkan prestasi serta mempercepatkan proses pemulihan selepas latihan dan pertandingan.
Selain memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran sukan, kerjasama itu turut membuka peluang kepada BS Nutrition untuk mendekati komuniti kecergasan dan sukan tempur Indonesia yang berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penglibatan dalam acara antarabangsa seperti BYON Combat Showbiz 8 juga membolehkan syarikat berkenaan memperluaskan jaringan perniagaan serta memperkenalkan jenama Malaysia kepada khalayak yang lebih luas di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai rakan strategik protein rasmi, BS Nutrition berpeluang mengetengahkan kesedaran mengenai kepentingan nutrisi seimbang sebagai sebahagian daripada persiapan atlet profesional dan individu yang mengamalkan gaya hidup aktif.
“Langkah itu selari dengan aspirasi syarikat untuk menjadikan pemakanan sukan sebagai elemen penting dalam pembangunan prestasi atlet, sama ada di peringkat amatur mahupun profesional,” kata BS Nutrition dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, penyertaan tersebut mencerminkan kesungguhan BS Nutrition untuk terus berada dekat dengan ekosistem sukan dan kecergasan melalui penglibatan aktif dalam pelbagai acara berprestij di dalam dan luar negara.
BYON Combat Showbiz 8 dijangka menjadi tumpuan peminat sukan tempur serantau dan BS Nutrition berharap kerjasama itu mampu mengukuhkan lagi reputasi jenama berkenaan sebagai antara pemain utama dalam industri nutrisi sukan di Asia Tenggara.-UTUSAN






