TEL AVIV: Stok uranium diperkaya Iran mesti dikeluarkan dari negara itu sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran boleh dianggap tamat, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada sebuah laman berita Amerika pada Ahad.
“Ia belum berakhir kerana masih terdapat bahan nuklear, uranium diperkaya yang perlu dikeluarkan dari Iran. Masih ada tapak pengayaan yang perlu dibongkar,” kata Netanyahu dalam wawancara yang disiarkan Ahad dalam program CBS News 60 Minutes.
“Anda masuk dan anda keluarkannya,” tambah pemimpin Israel itu apabila ditanya bagaimana uranium tersebut boleh dipindahkan.
Netanyahu berkata. Presiden AS, Donald Trump mempunyai pendirian yang sama.
“Saya tidak akan bercakap mengenai cara ketenteraan, tetapi presiden, apa yang Presiden Trump katakan kepada saya (iaitu), saya (Trump) mahu masuk ke sana,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Netanyahu itu bercanggah dengan pendirian umum Trump.
Ahli parti Republikan berusia 79 tahun itu kini berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat untuk menamatkan perang Iran dan beliau menyatakan bahawa program nuklear Teheran telah berjaya dibendung.
Selain isu stok uranium yang masih belum selesai, Netanyahu berkata, terdapat beberapa objektif perang lain yang masih belum dicapai.
“Masih ada kumpulan proksi yang disokong Iran, peluru berpandu balistik yang masih mahu mereka hasilkan. Sekarang, kita telah melemahkan banyak daripadanya, tetapi semua itu masih ada dan masih ada kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Netanyahu juga mengaku bahawa beliau tahu Beijing memberi bantuan kepada Iran.
Beliau berkata: “China memberi sejumlah sokongan (kepada Iran), khususnya komponen untuk pembuatan peluru berpandu. Tetapi, saya tidak boleh berkata lebih daripada itu.”
Netanyahu turut menyatakan keyakinan bahawa kejatuhan rejim Iran boleh membawa kepada tamatnya Hizbollah dan juga Hamas dan Houthi di Yemen,
Ini kerana keseluruhan rangkaian struktur proksi yang dibina Iran akan runtuh jika rejim di Republik Islam itu disingkirkan. – AFP






