BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, lsrael Katz mendakwa Amerika Syarikat (AS) tidak menuntut agar Israel mengundurkan tenteranya dari selatan Lubnan, syarat yang ditetapkan Beirut dalam rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
“Kami telah mengumumkan bahawa dalam apa jua keadaan kami tidak akan berundur,. Tiada tuntutan daripada AS supaya Israel berundur dari Lubnan,” katanya dalam temu bual semasa konvensyen pemimpin tempatan di Tel Aviv pada Rabu.
Katz berkata, beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menyampaikan kepada Presiden Amerika, Donald Trump bahawa pasukan tentera rejim berada di sana untuk melindungi penduduk di utara Israel.
Dalam ucapan pada persidangan sama, Netanyahu menegaskan tentera Israel tidak dijangka akan berundur dari kawasan tersebut.
“Selagi saya menjadi perdana menteri, kami akan mengekalkan zon keselamatan di selatan Lubnan selama mana yang diperlukan.
“Tentera Israel kini sedang memusnahkan seluruh infrastruktur darat Hizbullah,” katanya.
Pada Isnin, Netanyahu berkata, tentera Israel di Lubnan masih mempunyai kebebasan penuh untuk bertindak bagi menggagalkan sebarang ancaman langsung atau ancaman yang sedang berlaku.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun menolak pendudukan Israel di selatan negara itu dan campur tangan asing dalam urusan pertahanan negaranya.
Beliau merujuk kepada Iran yang menjadi penyokong Hizbullah ketika pusingan kelima rundingan Israel-Lubnan bermula di Washington pada Selasa.
Teheran turut menegaskan keamanan di Lubnan merupakan asas penting bagi mencapai perjanjian muktamad dengan Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat secara menyeluruh.
Washington dan Teheran menandatangani memorandum persefahaman minggu lalu yang bertujuan mencapai penyelesaian kekal antara kedua-dua negara susulan perang yang dilancarkan AS-Israel terhadap Iran pada hujung Februari.
Hizbullah mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac apabila melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel kemudian melancarkan serangan udara dan operasi darat yang mengorbankan lebih 4,100 orang serta membawa kepada penguasaan zon keselamatan sepanjang 10 kilometer di selatan Lubnan berhampiran sempadan Israel.
Pegawai Israel berulang kali menegaskan negara itu akan terus mengekalkan kawalan ke atas zon berkenaan.
Israel dan Lubnan kini terlibat dalam rundingan yang diusahakan AS di Washington bagi mencari penyelesaian diplomatik kepada konflik itu termasuk isu pelucutan senjata Hizbullah dan pengunduran tentera Israel dari Lubnan. – AFP






