KUALA LUMPUR: Sebanyak 600,000 peluang pekerjaan bakal disediakan sepanjang tahun ini melibatkan peruntukan RM4.8 bilion merangkumi tiga program utama di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, inisiatif itu mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran memandangkan penciptaan peluang pekerjaan adalah teras utama di bawah Bajet 2022.
Menurut beliau, inisiatif itu merangkumi tiga program utama iaitu Insentif Penggajian, Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau MySTEP dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).
“Pertama, Insentif Penggajian yang akan dilaksanakan oleh Perkeso dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan.
“MySTEP pula menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta Jamin Kerja.
“Upskill Malaysia yang dilaksanakan HRD Corp pula menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 pelatih,” katanya ketika berucap dalam Pelancaran Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Insentif Penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan membuat pengambilan pekerja terutamanya individu tidak aktif bekerja seperti penganggur dan golongan rentan bagi memastikan tiada rakyat dipinggirkan.
Pengambilan pekerja
Jelasnya, setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
“Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.
“Majikan yang layak, akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, MySTEP pula menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk 2022.
“Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi kerajaan lain,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan komited membantu komuniti usahawan menggaji dan mencipta peluang pekerjaan supaya mereka dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.
Katanya, JaminKerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.
Pemulihan negara
Jelasnya, langkah itu bagi memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan libat urus dengan semua pihak termasuk para majikan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Kata Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia diminta untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam memastikan hasrat gaji minimum itu mengambil kira pertimbangan semua sama ada majikan dan pekerja.
Justeru, kata beliau, kementerian berkenaan telah memaklumkan kepada Kabinet berhubung perkara berkenaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Menurutnya, dalam meningkatkan gaji minimum, terdapat syarikat yang mampu dan ada juga syarikat khususnya berskala kecil tidak mampu.
“Kita takut kalau tidak mampu, nanti mereka berhentikan pekerja, jadi akan menambah pengangguran,” katanya.
Ismail Sabri berkata, langkah melaksanakan gaji minimum RM1,500 untuk pekerja merupakan satu langkah terbaik untuk semua rakyat. – UTUSAN






