SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dilihat terpegun ketika menyaksikan model rekaan stadium dan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu yang di pamerkan di pusat beli belah SACC.
Menurut beliau, stadium ikonik itu sememangnya perlu dibina semula untuk memastikan kemudahan tersebut dapat digunakan lebih lama pada masa akan datang.
“Stadium itu wajar dibina semula kerana banyak kerosakan infrastruktur serta kemudahan dalam stadium berkenaan. Saya akui nampak kelewatan keputusan dibuat untuk membina semula KSSA. Tetapi pembinaan ini harus dilakukan.
“Saya harap mana-mana pihak yang diberikan tanggungjawab menguruskannya, uruskan ia sebaik mungkin supaya tidak berlaku lagi kerosakkan seperti sebelum ini,” katanya selepas melawat pameran, hari ini.
Bagaimanapun, reaksi beliau dilihat bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini yang menentang perobohan Stadium Shah Alam seperti dinyatakan dalam wawancara terbitan Mingguan Malaysia pada tahun lalu.
Dalam wawancara tersebut, Muhammad atau Mat Taib meluahkan kekecewaan apabila bangunan yang dibina di atas tapak tanah digazetkan sebagai ‘lembah sukan’ atau sport valley sejak 1970-an itu akan dirobohkan dan pembinaan kompleks baharu akan menerapkan elemen komersial.
Ketika itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak wajar mengulangi kesilapan seperti perobohan Litar Batu Tiga bagi memberi laluan kepada pembangunan perumahan dan pembinaan pusat beli belah. Tindakan sedemikian didakwa menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.
Sementara itu, KSSA yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dianggarkan menelan belanja di antara RM700 juta hingga RM1 bilion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan bahawa kos sebenar kompleks itu akan didedahkan kepada orang awam seawal hujung bulan ini.
Ditanya mengenai kos pembinaannya, kata Muhammad, kos pembinaan stadium itu adalah berpatutan berdasarkan reka bentuk serta teknologi yang digunakan. – UTUSAN






