PETALING JAYA: Kerajaan perlu menggiatkan pengumpulan dan kajian data menggunakan analisis data raya bagi membuat pengkelasan terperinci kategori penerima subsidi negara ini.
Ini sejajar dengan cadangan kerajaan untuk memansuhkan pendekatan menggunakan kategori pendapatan B40, M40 dan T20 dalam usaha ke arah pendekatan subsidi bersasar.
Bercakap kepada Nexbyte, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, cadangan memperkemas agihan subsidi supaya benar-benar bersasar adalah satu usaha yang progresif kerana sistem agihan subsidi sedia ada tidak menyeluruh.
“Ia satu cadangan yang baik bertujuan melaksanakan matlamat kesejahteraan keluarga, maksudnya kesejahteraan ekonomi isi rumah. Ini perlu dilakukan secara terperinci dengan dasar mikro.
“Kalau kita guna kaedah pengkelasan besar seperti B40, M40 dan T20, dasar itu bersifat makro dan pengkelasan terlalu umum dan luas. Ia tidak menyasarkan tepat kepada sasaran,” katanya.
Barjoyai berkata, kaedah pengkelasan paling sesuai bagi mengenalpasti kategori isi rumah adalah menggunakan analisis data raya.
“Melalui data yang lengkap itu kita boleh analisis pendapatan, simpanan, makanan yang dimakan hari-hari dan tahap pendidikan, misalnya. Jadi semua ini boleh mewujudkan satu strategi yang berbeza mengikut keperluan,” katanya.
Diajukan persoalan kemungkinan data terperinci rakyat yang berada dalam simpanan kerajaan mungkin mendorong ia dieksploitasi ke arah “negara polis” dan “surveillance state”, Barjoyai berkata, rakyat tidak perlu takut kepada kerajaan.
“Sebab sebenarnya kita semua takut maklumat kita disalahgunakan. Tetapi sebenarnya kita tidak sedar melalui telefon bimbit lebih teruk maklumat kita dieksploitasi.
“Melalui aplikasi seperti Whatsapp dan media sosial lain, sebenarnya kita sendiri kadang-kadang mendedahkan maklumat sulit kita. Jadi, kenapa kita takut dengan kerajaan?
“Sebab sebenarnya kerajaan pun, melalui tahun ini, sudah menggunakan Nombor Pengenalan Cukai (TIN). Ini akan memerlukan semua orang untuk mempunyai TIN, dan itu perlu apabila mahu membuat sebarang transaksi bayaran,” katanya. – UTUSAN






