PETALING JAYA: Suntikan modal dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada Felda tidak akan berjaya jika tiada integriti dalam menguruskan agensi tersebut.
Bercakap kepada Nexbyte, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, beliau tidak nampak bantuan terbaharu kerajaan pada minggu lalu berupaya membantu memulihkan ekonomi Felda jika gagal diuruskan dengan baik.
Jelasnya, penyenaraian FGV Holdings Bhd. pada 2012 merupakan langkah amat positif, namun usaha itu tidak berjaya kerana berbalik kepada soal utama iaitu integriti dalam menguruskannya dengan tatakelola yang baik.
“Berapa banyak kita beri suntikan modal dan nilai sukuk yang tinggi sekali pun, kejayaan perlu dilihat sejauh mana dasar ketelusan agensi tersebut,” katanya.
Ditanya sama ada Felda perlu fokus kepada pembangunan tanah rancangan sahaja, Barjoyai berkata, ia adalah langkah terbelakang kerana agensi itu perlu usaha pelaburan untuk menjana pendapatan.
“FGV bukan tidak bagus, tetapi bagaimana kita hendak memastikan diuruskan dengan baik. Felda perlu cabang perniagaan, tetapi kena bersandarkan ketelusan,” katanya.
Semalam, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi ruangan Minda Pengarang berpandangan Felda harus berhenti terbabit dalam perniagaan.
Sebaliknya agensi itu hanya perlu menjadi badan kawal selia kepada pembangunan kawasan yang diamanahkan dan berhenti mengheret kerajaan daripada menanggung hutang kerana ketidakcekapan sendiri.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, Felda perlu kembali kepada matlamat asal penubuhannya iaitu melahirkan generasi peneroka berdikari dengan memberi kepercayaan kepada mereka membangunkan dan menguruskan sendiri tanah tersebut.
Jika matlamat tersebut gagal diuruskan, Felda akan terus berdepan kegelapan kerana ketiadaan bakal peneroka pelapis meneruskan usaha pembangunan generasi pertama dan tanah-tanah tersebut bakal terbiar begitu sahaja.
Tegasnya, tidak boleh tidak Felda ‘wajib’ kembali seperti asal penubuhan pada tahun 1956 dengan menyerahkan tanah -tanah tersebut terus diusahakan sepenuhnya oleh peneroka dan generasi kedua.
Bagaimanapun, menurut beliau, pengurusan Felda perlu melakukan perancangan dan strategi bagi membantu dan memastikan peneroka mampu membangunkan tanah tersebut dengan berjaya.
Kata Mazlan, malangnya buat masa sekarang, usaha itu tidak berlaku apabila tanah masih dimiliki Felda sedangkan terdapat para peneroka yang mampu mengusahakannya sendiri.
“Saya bimbang jika tidak menyerahkan pembangunan tanah kepada peneroka, Felda akan gagal melahirkan generasi peneroka berdikari seperti idea pengasasnya, Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Akhirnya tanah tidak diwariskan dan seterusnya tidak diusahakan, kemudian terbiar begitu sahaja kerana gagal mewariskan kepada generasi kemudian,” katanya.
Pada masa sama, Mazlan berkata, selagi kerajaan tiada keazaman politik untuk mereformasi Felda, maka selama itulah agensi tersebut terus kekal bermasalah.
“Bagaimana mahu sekat penyelewengan dalam agensi itu jika orang luar yang tiada roh menerajui agensi ini.
“Malah kita terlalu bergantung pada pengurusan Felda dan kroni tertentu yang mementingkan peribadi daripada kepentingan peneroka,” ujarnya.
Minggu lalu, kerajaan sekali lagi melaksanakan bailout terhadap Felda apabila kerajaan perpaduan mengumumkan terbitan sukuk dan kredit pusingan untuk menyelamatkan Felda.
Bantuan terbaharu membabitkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Langkah terbaharu itu membolehkan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021. – UTUSAN






