PETALING JAYA: Jet Valet Sdn. Bhd,. mengesahkan jet eksekutif yang terhempas di Elmina dekat Shah Alam petang semalam adalah milik syarikat penerbangan itu.
Dalam satu kenyataan, Jet Valet mengesahkan menerima laporan berhubung nahas pesawat tersebut yang terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Sungai Buloh.
Syarikat tersebut berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai tragedi itu.

“Pihak Jet Valet akan memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak berkuasa mengenai indisen melibatkan pesawat ini.
“Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan sebarang butiran lain secara rasmi termasuk kemalangan jiwa kerana menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan kesemua mangsa baru selesai menghadiri mesyuarat di Langkawi.
Satu sumber memberitahu Nexbyte, mesyuarat yang dihadiri mereka membabitkan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pahang.
“Mesyuarat itu berlangsung hari ini, bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesemua mereka berada di Langkawi sejak bila,” katanya di sini semalam. – UTUSAN






