SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mewujudkan skuad khas bagi membanteras kegiatan pihak tidak bertanggungjawab ‘mengalibabakan’ permit Bazar Ramadan pada tahun ini.
Kali ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyediakan 16,693 tapak di 264 Bazar Ramadan di seluruh kawasan bidang kuasanya dengan kadar sewa antara RM230 hingga RM340.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, kewujudan amalan ali baba permit bazar bukan sesuatu yang baharu dan skuad khas ditubuhkan antara pendekatan dilakukan MBSA untuk membanteras isu tersebut.
“Penubuhan pasukan pemantau khas adalah bagi memastikan tiada lesen dialibabakan oleh pemegang permit Bazar Ramadan. Setakat tahun lalu tiada kes ali baba permit bazar di dalam kawasan MBSA dilaporkan.
“Pemeriksaan juga akan dilakukan secara rawak dari masa ke semasa bagi memastikan syarat permit dipatuhi. Jika ada aduan salah guna permit pihak MBSA juga akan menyiasat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadan, hari ini.
Beliau menambah, di bandar raya ini, MBSA menyediakan 1,134 tapak melibatkan 27 lokasi Bazar Ramadan dan ia boleh ditambah jika terdapat permintaan sebelum bulan puasa bermula.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd. Najwan memberitahu pihaknya berharap kerjasama antara Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan MBSA bagi menjayakan agenda pembayaran secara digital dalam kalangan peniaga bazar menjadi kenyataan.
“Kesemua peniaga diwajibkan menyediakan kaedah pembayaran atas talian seperti Kod QR dan terpulang kepada pembeli untuk membayar dengan kaedah tersebut atau secara tunai.
“Pihak MBI sendiri telah membangunkan Platform Selangor (PLATS) untuk diambil manfaat oleh peniaga bazar bermula tahun ini dan kita berharap agenda digitalisasi dapat disemarakkan selaras Rancangan Selangor-1 (RS1),” ujarnya. – UTUSAN






