SHAH ALAM: Mahasiswa universiti atau kolej sekitar bandar raya ini berbelanja sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli juadah berbuka puasa dan mengaku terbeban berikutan harga makanan di bazar Ramadan didakwa mahal.
Rata-rata golongan yang tidak berpendapatan itu memberitahu tiada pilihan untuk membeli makanan selepas harga jualan di mana-mana bazar adalah hampir sama.
Salah seorang pengunjung sebuah Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Ahmad Rizal Ahmad Yusof, 25, berkata, dia berbelanja lebih RM20 untuk membeli juadah untuk berbuka dan bersahur.
“Memang setiap kali ke bazar saya akan beli untuk waktu sahur sekali, menu yang saya selalu beli adalah nasi beriani, air minuman dan menu sampingan seperti kuih, martabak atau roti john.
“Memang semua itu lebih RM20 dan nampak macam banyak, tetapi kalau saya beli menu lain atau kurangkan pun, lingkungan itu juga atau sekitar RM18 hingga RM20. Sudah tentu belanja pada bulan puasa lebih banyak berbanding bulan lain,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan Nexbyte baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi mahasiswa sebuah universiti swasta, Nor Syaheera Zulkifli ketika ditemui dalam tinjauan di bazar berasingan memberitahu, mengakui perkara yang sama, namun sanggup membeli di bazar Ramadan untuk menjimatkan masa.
“Memang dalam kampus ada cafe dan jual lebih murah, tetapi tidak banyak pilihan dan ramai berkumpul dalam satu-satu masa dan terpaksa menunggu lama dalam masa sama banyak tugasan perlu disiapkan.
“Jadi, saya pergi ke bazar lebih cepat, cuma terasa juga harganya yang mahal, kalau beli yang ringkas-ringkas pun habis juga RM20 tak termasuk makanan untuk sahur.Kalau duit belanja habis, terpaksa minta pada keluarga untuk beli makanan berbuka,” luahnya.
Seorang lagi mahasiswa dari sebuah universiti swasta, Adam Zahri Ismail, 22, memaklumkan, pernah berbuka puasa dengan mi segera sahaja semata-mata untuk berjimat.
“Sekali pergi bazar memang banyak duit keluar. RM20 itu sudah tentu, kadang-kadang kena sediakan duit lebih. Sebab bila pergi ke bazar memang berhajat mahu beli makanan yang sedap untuk berbuka, tetapi harganya bersedialah.
“Tetapi ada juga rakan yang berbuka atau bersahur di masjid yang menyediakan makanan percuma, namun kena pergi awal, beratur lama kalau lambat makanan habis, orang ramai, tugasan kena siapkan…macam-macamlah,” selorohnya.
Dalam pada itu, beban sama turut diluahkan oleh golongan bekerjaya seperti, Nor Sakinah Muhammad Badri, 35, yang memberitahu berbelanja di bazar mudah dan menjimatkan masa walaupun terpaksa berbelanja lebih.
“Sampai di rumah pun sudah pukul 6 petang. Jadi, memang tidak sempat masak untuk keluarga. Cuma pada hari minggu, saya akan memasak sekiranya kami sekeluarga berada di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.
“Kalau ke bazar Ramadan, memang tidak kurang dari RM50 yang akan dibelanjakan kerana beli makanan untuk tiga anak. Suami akan beli makanan juga,” katanya. – UTUSAN






