SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendakwa belum menerima sebarang permohonan atau rundingan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung pelan pembangunannya dekat Seksyen 14, di sini seperti yang tular baru-baru ini.
Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Cheremi Mohd. Tarman, bagaimana pun pihaknya sedia maklum dengan cadangan pembangunan tersebut menerusi hebahan akhbar dan orang awam.
“Setakat ini belum ada rundingan dengan MBSA untuk mengemukakan pelan pembangunan tetapi belum ada rundingan, kajian atau perbincangan dengan MBSA.Lagi pun kita juga ada program rejuvenasi atau meremajakan semula pusat bandar kita,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Prihatin Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024, hari ini.
Sebelum ini, PKNS dilapor merancang untuk melaksanakan pembangunan dalam kawasan miliknya di Pusat Bandar Shah Alam yang dikatakan sebahagian daripada usaha peremajaan bandar yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini.
PKNS dalam maklumannya memberitahu, projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu bakal melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC yang dari peringkat awal projek namun tidak melibatkan bangunan Kompleks Plaza PKNS.
Dalam pada itu, Cheremi menjelaskan, MBSA tidak menghalang sebarang pembangunan yang melibatkan bangunan ikonik seperti Kompleks PKNS di Seksyen 14 dan lain-lain bangunan di kawasan tersebut.
“Kita kena tengok dulu dari segi kapasiti dan kepadatan pembangunan yang dikemukakan pihak PKNS. Kita kena tengok kesan pembangunan kepada trafik dan lain-lain aspek.
“Kita tidak mungkin meluluskan keseluruhan daripada pembangunan tersebut. Proses kelulusan juga bergantung kepada pihak PKNS untuk mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak MBSA,” ujarnya.
Katanya lagi, projek rejuvenasi tersebut bertujuan untuk memantapkan aliran trafik, memperbaiki lanskap, infrastruktur bertepatan dengan status Bandaraya Shah Alam sebagai Bandar Anggerik.
“Kemungkinan besar banyak jalan di pusat bandar itu akan menjadi satu hala berdasarkan cadangan daripada perunding.
“Rejuvenasi akan fokus di pusat bandar terlebih dahulu dan dalam masa sama kita ada perancangan untuk menyediakan taman-taman di kawasan lapang di sepanjang rezab Lebuhraya Persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN






