SHAH ALAM: Sebuah pusat beli-belah ikonik di ibu negeri ini, Plaza Alam Sentral bakal diberi nafas baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kompleks tersebut yang berusia hampir 30 tahun.
Inisiatif tersebut dilakukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selepas mengambil alihnya daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) sejak Disember tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, Plaza Alam Sentral yang terletak bersebelahan Dataran Shah Alam itu menjadi aset baharu PKNS dan antara usaha awal memeriahkannya dengan penganjuran Festival Ramadan Selangor (Festira) 2024.
“PKNS telah merancang pelbagai projek naik taraf bagi menambah baik dan memberi nafas baharu kepada bangunan itu kelak. Sebelum ini Plaza Alam Sentral seperti yang semua ketahui adalah pusat beli-belah yang kurang menarik dan kita berharap di bawah PREC ia akan ‘dihidupkan semula’,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Festira 2024, hari ini.
Sebelum ini, Plaza Alam Sentral menjadi tumpuan selain dikenali sebagai pusat beli belah, ia juga merupakan lokasi kunjungan bagi penonton yang mahu menyaksikan persembahan artis atau rakaman rancangan TV sebuah syarikat swasta yang dibuat di aras atas bangunan tersebut.
Dalam pada itu, Fakru Radzi memaklumkan pusat beli bela itu juga akan dijenamakan semula supaya menjadi lebih menarik termasuk mengubah wajahnya bagi membolehkan ia terus relevan di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam.
Mengulas mengenai Festira 2024 yang akan berlangsung bermula dari 22 Februari sehingga 9 April depan beliau berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran 2 juta pengunjung.
“Kita berharap Festira 2024 yang diadakan di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi, SACC, SACC Walk turut memeriahkan Plaza Alam Sentral.
“Kita mempunyai penambahan 1,200 peniaga berbanding 500 sebelum ini di lima lokasi. Datanglah beramai-ramai untuk membeli baju raya dan kelengkapan raya sambil dihiburkan artis-artis jemputan,” ujarnya. – UTUSAN






