SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman mengambil kesempatan sepanjang masa berada di penjara dan ketika menerima rawatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta dengan menulis buku kisah kehidupannya dalam tempoh tersebut.
Menurut pelantun lagu popular ‘Mimpi Laila’ itu, tulisannya akan berkisar liku-liku kehidupan yang dilaluinya sepanjang berjuang di Mahkamah Sesyen berhubung kes dadah dihadapinya dan ketika menjalani rawatan di Ulu Kinta, Perak.
Bagaimanpun, buku yang akan diberi judul ‘Dari pentas juara ke penjara’ itu hanya akan diterbitkan apabila beliau dibenarkan keluar dari hospital tersebut.
“Saya ada tulis buku hampir siap, sepanjang menerima rawatan di Hospital Bahagia dan duduk di penjara yang diberikan tajuk ‘Dari pentas juara ke penjara’.
“Nanti saya akan terbitkan bergantung sama ada saya akan keluar pada tahun ini atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Mahkamah Tinggi selepas keputusan bebas dan lepas oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini dirayu oleh pihak pendakwaan.
Beliau memaklumkan akan akur dengan prosiding tersebut walaupun beranggapan ia sebagai membuang masa dan tenaga apabila keputusan Mahkamah Sesyen pada 29 November lalu dikatakan sudah pun sempurna.
Dalam pada itu, beliau Muhammad Yasin yang juga merupakan juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-16 menerusi lagu Mimpi Laila turut mengulas perkembangan rawatannya di Hospital Bahagia.
Malah, turut bergurau berkenaan berat badannya yang dilihat semakin bertambah sepanjang berada di sana.
“Hendak masuk enam bulan rehabilitasi di hospital, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.
“Ya, saya cukup makan,” selorohnya
Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan Yasin, 49, daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah. – UTUSAN






