KUALA SELANGOR: Pembinaan keseluruhan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di jajaran Tanjong Karang–Assam Jawa di sini, dilapor mencapai tahap 71 peratus dan dijangka siap pada Mac 2026.
Lebuhraya melibatkan Seksyen 7 sepanjang 29.5 kilometer (km) itu dijangka mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga sejam berbanding jalan persekutuan sedia ada.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jajaran itu melibatkan dua bahagian dari Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (Lebuhraya LATAR) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang.
Menurutnya, Seksyen 7A sepanjang 19.5km bermula dari persimpangan Assam Jawa ke Ladang Sungai Terap, kemajuan kerja kini telah mencapai 91 peratus.
“Manakala, Seksyen 7B dari Ladang Sungai Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang dengan penetapan jarak 10km pula sudah mencapai 44 peratus.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita menjangkakan jajaran itu akan siap sepenuhnya pada Mac 2026 nanti,” katanya selepas meninjau projek pembinaan lebuhraya itu di Tanjong Karang, hari ini.
Nexbyte sebelum ini melaporkan kemajuan pembinaan WCE sepanjang 233 km tidak termasuk 80 km yang tiada tol itu sedikit lewat disebabkan isu pengambilan tanah.
Lebuhraya merentasi jajaran Banting, Selangor ke Taiping Selatan, Perak itu melibatkan pengambilan tanah lebih RM2 billion dan mempunyai 11 seksyen berasingan.
Jelasnya, jajaran itu kelak akan memudahkan perjalanan pengguna yang terpaksa menempuh kesesakan terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.
“Selain itu, ia membantu mengurangkan kepadatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan menjadikan jajaran itu sebagai laluan alternatif.
“Kerajaan kekal komited membina infrastruktur yang selesa dan selamat selain meredakan keresahan rakyat yang berdepan kesesakan teruk lalu di Tanjong Karang dan Kuala Selangor,” ujarnya.
Katanya lagi, projek jajaran itu menghadapi masalah struktur tanah gambut namun pihaknya yakin pembinaannya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Memang diakui tanah di lokasi pembinaan itu agak lembut dan memerlukan kerja tambakan secara berperingkat. Namun, ia tidak menjadi masalah besar dan kesukaran itu akan dapat ditangani secara inklusif,” jelasnya. – UTUSAN






