KUALA SELANGOR: Seramai 11 mangsa yang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu masih menerima rawatan di hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua individu itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan selain mereka terdapat 105 lagi turut menerima rawatan selepas mengalami gejala keracunan.
“Namun, 11 mangsa masih sedang menerima rawatan di wad dan dilapor stabil. Sehingga kini, tiada kesan serius ke atas mereka,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pek Kasih Mama Shopee di Puncak Alam di sini, hari ini.
Nexbyte sebelum ini melaporkan seorang bayi berusia dua tahun dan lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan bihun dan telur yang dibawa pulang daripada program sebuah sekolah.
Seramai 82 daripada 247 pelajar 30 sekolah yang terlibat dalam program KAMIL itu dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan. Polis setakat ini merekodkan keterangan 13 individu termasuk ahli keluarga mangsa, doktor patologi, dan pramusaji.
Malah, keterangan pihak penganjur, jawatankuasa, pengetua, dan individu terlibat dalam penyediaan makanan sudah pun dirakam bagi membantu siasatan.
Tambah Dzulkefly, kementeriannya mengesan bakteria salmonella dalam sampel najis yang diambil berkaitan kes berkenaan.
“Namun, kita masih menunggu lanjutan keputusan sampel lain daripada individu yang ditahan di wad. Dalam tempoh sementara waktu ini, kita kenal pasti keracunan makanan berpunca daripada Salmonella,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta platform e-dagang termasuk Shopee memastikan semua ubat dan produk makanan tambahan yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas jika menerima aduan mengenai penjualan produk itu secara dalam talian.
“Kita bimbang penggunaan ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna,” jelasnya. – UTUSAN






