SHAH ALAM: Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,880 melibatkan urusan permohonan pecah bahagian tanah pada Mei 2022.
Pengakuan tersebut dibuat Noor Aliza Hamin selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Berdasarkan pertuduhan, Noor Aliza yang tidak diwakili peguam itu didakwa menerima suapan secara berperingkat RM3,700 dan RM4,180 sebagai dorongan untuk memproses permohonan seorang pemilik tanah bagi pecah bahagian tanah atas geran bagi sebidang tanah di Sabak Bernam.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Sungai Besar pada 19 Mei dan 19 September 2022. Justeru, tertuduh berusia 46 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pengendali prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman kemudian menawarkan Noor Aliza diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan iatu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa.
Tertuduh juga diarahkan supaya tidak mengganggu saksi–saksi pendakwaan.
Tertuduh dalam mitigasinya memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan jumlah yang minimum kerana mengalami masalah fibroid dan sedang menjalani rawatan.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan tawaran jaminan oleh pihak pendakwaan iaitu RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara serta memerintah tertuduh supaya mematuhi syarat tambahan.
Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai depan.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, SPRM menahan reman seorang penjawat awam Gred 38 selama empat hari di sini bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta suapan sebanyak RM11,500.
Permohonan itu dibenarkan Mahkamah Majistret hari ini oleh Majistret Muhammad Syafiq Suleiman sehingga Sabtu ini.
Menurut sumber, lelaki berusia 50 tahun itu dikatakan menerima suapan sebagai dorongan untuk menutup kes berhubung suatu tangkapan. Justeru, dia ditahan dekat Pejabat SPRM Selangor pada petang semalam dan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN






