SHAH ALAM: Stadium Shah Alam masih belum boleh dirobohkan apabila terdapat beberapa syarat masih belum dipatuhi oleh pemaju termasuk penyerahan pelan secara rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandarnya, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, pelan Kebenaran Merancang (KM) sudah pun diluluskan pada hujung tahun lalu namun pemaju juga perlu mengemukakan pelan pembangunannya.
“Setakat ini pelan untuk apa yang pemaju ingin lakukan di situ belum diserahkan secara rasmi tetapi perbincangan itu memang ada dari segi rekabentuk.
“Ada beberapa isu di peringkat kerajaan negeri untuk diselesaikan. Pihak MBSA hanya menunggu arahan selanjutnya dari pihak kerajaan negeri pada masa ini,”katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam Ke-12, hari ini.
Jelasnya, pembangunan utama di lokasi tersebut adalah stadium berkapasiti 40,000 orang selain fasiliti komersial sokongan dan pembinaan hotel pada fasa akhir pembinaan kelak.
Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang baharu menggantikan Cheremi Tarman yang bersara wajib minggu lalu. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Hulu Selangor.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya memberitahu, selain menyelesaikan isu stadium, beliau juga akan meneruskan agenda mengatasi masalah banjir di bandaraya ini terutama di Taman Sri Muda.
“Sebagai Datuk Bandar Shah Alam, saya akan meneruskan projek rejuvenasi bandaraya Shah Alam dan saya akan memastikan projek ini mempunyai garis masa dan aktiviti pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa.
“Selain itu pasca Hari Lanskap Negara (HLN) baru-baru ini, ia seharusnya menjadi penanda aras kepada acara aras tinggi diadakan di sini pada masa akan datang. Saya juga berharap menjadikan Shah Alam sebagai bandaraya yang lebih bergemerlapan pada sebelah malam, dan pihak pemegang taruh dapat menjayakan misi dan visi saya ini,” ujarnya. – UTUSAN






