KUALA SELANGOR: Keengganan seorang pemilik kedai runcit di Bandar Malawati di sini, membayar cukai taksiran lebih setahun lalu memakan diri apabila diserbu pihak berkuasa Unit Perundangan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan mengingkari perintah mahkamah pada Disember 2022 supaya melunaskan tunggakan cukai berjumlah RM8,600.
Peguam mewakili MPKS, Mohd. Faiz Abd. Rahim berkata, tindakan itu diambil pihaknya selepas menerima writ sitaan dan jualan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada 10 Mei lalu.
Menurutnya, arahan penghakiman itu dikeluarkan selepas defendan didapati masih culas dan tidak melunaskan hutang atau tunggakan cukai taksiran.
“Justeru, satu inventori dikeluarkan bagi menyenaraikan barang-barang sitaan di kedai runcit itu dan menetapkan tempoh 14 hari bagi membuat pembayaran.
“Jika tiada bayaran dibuat, kita akan menjual barang itu dengan harga lelongan yang ditetapkan oleh pihak bailif (pegawai yang menyerahkan writ atau saman,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Tambah Mohd. Faiz, tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 156 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita harta alih di dalam pegangan pemiliknya.
“Sitaan ke atas premis itu berjumlah kira-kira RM3,000 dan ia antaranya melibatkan rak, peti ais serta barangan runcit. Pemiliknya bagaimanapun mahu melunaskan tunggakan cukai itu hari ini dan tindakan sitaan akan dilakukan jika defendan gagal berbuat demikian,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan perbendaharaan MPKS, Liliana Ahmad berkata, ia merupakan kes tindakan pertama melibatkan pengingkaran perintah mahkamah oleh pembayar cukai tahun ini.
“Kami memandang serius perkara itu dan sudah memberi peluang termasuk jadual bagi melunaskan tunggakan. Tindakan ini dijangka mempunyai beberapa fasa lanjut selepas penelitian dan tapisan oleh pihak pengurusan MPKS,” katanya. – UTUSAN






