KLANG: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti penyeludupan tiga migran warga Vietnam di Terminal 2 KLIA, pada 30 Jun lalu.
Nasrullah Bakar dan Mohamad Hafiz Mohamad Amir dituduh secara berasingan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 26 dan 32 tahun itu didakwa sebagai pegawai awam menjalankan penyeludupan migran iaitu Phong Thi Ngoc Sui, Nguyen Hoai Hung dan Tarn Thi May.
Kesalahan tersebut dilakukan dekat Kaunter No. 5, Transborder Arrival di lapangan terbang berkenaan kira-kira pukul 4.40 petang. Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Selain itu, Mohamad Hafiz juga didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan tersebut yang turut dibaca bersama Seksyen 26B(d) akta sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun serta boleh disebat.
Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Che Seman dan Nurul A’in Abu Bakar memaklumkan tiada jaminan ditawarkan bagi kesalahan tersebut serta memohon perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Muhammad Syawal Mohd. Razak yang mewakili Nasrullah dan T. Harpal Singh yang mewakili Mohamad Hafiz tidak membantah perbicaraan bagi pertuduhan tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Harpal Singh memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada anak guamnya memandangkan kes tersebut dituduh di Mahkamah Sesyen yang mempunyai kuasa untuk membenarkan ikat jamin diberikan.
Namun, Hakim Zulqarnain menolak permohonan tersebut, sebaliknya memaklumkan ia dibuat di Mahkamah Tinggi nanti.
Beliau kemudian membenarkan prosiding dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk direkod pengakuan dan perbicaraan. – UTUSAN






